PERSEMBAHAN meriah Noraniza dalam minggu final GV7.
PERSEMBAHAN meriah Noraniza dalam minggu final GV7.
Syafil Syazwan Jefri


PELUANG menyertai program Gegar Vaganza 7 (GV7) adalah peluang keemasan buat penyanyi yang diiktiraf sebagai Ratu Etnik Kreatif dan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

Walaupun berpengalaman lebih 30 tahun, Noraniza atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Ani berkata, dia masih lagi menggali ilmu muzik.

"Walaupun saya pernah memenangi pertandingan dan acara persembahan lain, apa yang boleh saya simpulkan GV7 adalah satu platform berbeza buat diri saya," katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih dan terhutang budi kepada ketua juri, Datuk Ramli MS yang banyak mencurahkan ilmu kepadanya.

"Saya memang kenal Tok Ram (Ramli) sejak sekian lama dan dia pun pernah bekerjasama dengan saya sebagai penyusun lagu. Dia seorang individu dan juri yang tidak berat sebelah," katanya.

Katanya, Ramli begitu telus dalam melontarkan komen kepada peserta program realiti itu.

"Kalau bagus, dia akan beritahu bagus. Kalau tak bagus, dia akan berterus terang dan cakap tak bagus. Dia bukan saja bertindak sebagai juri pertandingan, tetapi saya anggap seperti mentor saya," katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang menjadi sasaran netizen sepanjang program itu berlangsung, Noraniza tidak menafikan ada masanya emosinya kecundang.

"Kadang-kadang apabila berdepan dengan komen netizen yang pelbagai, memang emosi saya tercabar juga. Namun, itu semua lumrah," katanya.

NORANIZA bersama hadiah wang tunai dan piala selepas mendapat tempat keempat GV7.
NORANIZA bersama hadiah wang tunai dan piala selepas mendapat tempat keempat GV7.

Apa yang pasti, matlamatnya untuk meletakkan genre Irama Malaysia ke platform komersial kini mula membuahkan hasil dan dia juga berjaya menduduki tempat keempat dalam pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 6:30 AM