WANY Hasrita. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
WANY Hasrita. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Sudirman Mohd Tahir

Percubaan Wany Hasrita menghasilkan lagu irama Malaysia, Ewah Ewah ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dianggap berani.

Ramai beranggapan ia satu percaturan buat Wany, 26, apatah lagi pasaran muzik semasa masih cenderung kepada lagu berentak balada 1990-an.

Wany terlebih dahulu mencipta nama menerusi lagu Menahan Rindu disusuli dengan duet bersama Tajul, Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

Namun, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah tetap optimis dengan pilihannya selain menyifatkan ia satu usaha untuk memartabatkan kembali irama Malaysia yang pernah menjulang nama Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Kalau nak tahu ramai penyanyi irama Malaysia bergerak secara ‘underground’ dan muncul dengan karya sedap, tetapi mereka tidak diberi peluang untuk diketengahkan.

“Platform yang ada sekarang digunakan sebaik-baiknya untuk mengetengahkan kembali genre ini. Walaupun dengan kualiti suara yang tidak seberapa, saya cuba juga.

“Sekurang-kurangnya masyarakat terutama generasi muda tidak lupa di negara kita wujud genre lagu ini.

“Karya Pak Ngah atau komposer lain menerusi genre ini masih wujud. Semuanya sedap didengar,” katanya.

Melihatkan usaha itu, ramai beranggapan Wany adalah pelapis lagu irama Malaysia dan boleh pergi jauh dengan genre sebegitu.

Wany berkata, terlalu awal untuk dia diangkat setinggi itu kerana menyifatkan ramai lagi penyanyi irama Malaysia jauh lebih bagus daripadanya.

“Kalau dikatakan sebagai pelapis irama Malaysia, bagi saya perjalanan masih panjang dan banyak perkara kena belajar lagi mengenai irama ini.

“Saya masih kosong ilmu mengenai lagu ini. Saya tahu menyanyikan lagu sebegini pun sebab dengar dan ikut. Untuk ilmu yang sebetulnya memang tak ada lagi.

“Saya juga memasang impian untuk menghasilkan album tradisional. Apatah lagi genre ini ada pelbagai jenis lagu.

“Namun, memandangkan sekarang saya di bawah syarikat rakaman, jadi kena duduk berbincang.

“Apabila saya ingin menghasilkan single ini, kami saling bertoleransi apa yang saya ingini dan kehendak mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Wany meluahkan rasa terharu apabila lenggok nyanyiannya mendapat pujian Siti Nurhaliza.

“Saya terkejut dan tidak menjangka beliau mendengar lagu saya, malah dia turut memuji. Sebagai penyanyi, tentu saja saya berasa bangga apabila mendapat perhatian daripada penyanyi hebat tanah air.

“Pujian itu memberi semangat dan motivasi untuk saya memperbaiki mutu nyanyian. Bukan mudah untuk mendapat lenggok sebaik Siti. Bagi saya, dia memiliki keunikan yang luar biasa.

“Untuk menjadi sepertinya, saya perlu bekerja keras dan berusaha lagi. Diakui, Siti adalah idola saya. Dia menjadi inspirasi untuk saya berjaya,” katanya.

Menurut Wany, dia terbuka menerima setiap nasihat dan pandangan diberikan kepadanya dalam usaha memartabatkan irama Malaysia.

“Macam dikatakan, irama Malaysia bukan genre mudah. Banyak yang perlu dipelajari untuk menjadi penyanyi irama Malaysia yang bagus.

“Saya percaya, Siti, Noraniza dan penyanyi irama Malaysia lain pun mengambil masa untuk belajar.

“Cuma, bonus untuk mereka apabila setiap lagu dihasilkan berjaya menarik perhatian peminat,” katanya.

WANY Hasrita. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam.
WANY Hasrita. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam.

Tidak letak harapan

Wany tidak mahu meletakkan harapan tinggi untuk percubaan pertamanya itu kerana menyedari permintaan stesen radio.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya ingin melihat kembali kegemilangan lagu irama Malaysia bukan sahaja di stesen radio tetapi juga di kaca TV dan pertandingan nyanyian.

“Saya faham, syarikat rakaman pun menyasarkan lagu yang mendapat permintaan stesen radio. Lagu tradisional pula sekarang ini masih belum cukup kuat untuk dimainkan di stesen radio. Kalau ada pun, stesen radio tertentu saja.

“Jadi, saya kena berusaha lebih lagi ke arah ini. Saya berharap dengan usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan peminat terhadap lagu sedemikian.

“Kalau lagu ini sedap, ia boleh menimbulkan keinginan pendengar untuk membuat permintaan di stesen radio. Sebenarnya, kuasa pendengar sangat besar. Semakin banyak permintaan, radio pasti akan mainkan. Saya yakin, kegemilangan lagu irama Malaysia dapat dikembalikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 4:52 AM