KAK Ani tak mahu ambil tekanan dalam GV7, enggan baca komen berbau negatif.
KAK Ani tak mahu ambil tekanan dalam GV7, enggan baca komen berbau negatif.
Sudirman Mohd Tahir


RATU Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui suaminya, Juffri Hadi membuat solat sunat dua rakaat sebelum memberi keizinan kepadanya untuk terbabit dalam program Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh yang bakal bersiaran pada 11 Oktober depan.

Malah, Noraniza atau mesra dengan sapaan Kak Ani berkata, keputusan untuk menyertai program popular itu dibuat pada saat akhir.

"Sejujurnya, sebelum ini memang saya pernah katakan tidak untuk menyertai program ini, biar pun sudah beberapa tahun pihak produksi mempelawa saya untuk masuk. Malah, bagi musim kali ini pun keputusan dibuat pada saat akhir.

"Sebelum itu, suami turut buat solat sunat dan barulah dia memberi keizinan selepas beberapa persoalan dijawab dengan baik pihak pengurusan yang menguruskan saya dalam pertandingan ini iaitu, Mind Order.

"Selepas berbincang dan dipujuk mereka, saya terbuka hati kerana diberikan motivasi. Mereka minta saya bukakan minda, pandang ke depan selepas menyertai GV," katanya.

Noraniza yang popular menerusi lagu Dikir Puteri, Hatinya Tak Tahan, Hati Kama dan banyak lagi mengakui tidak mahu terlalu memikirkan soal tekanan yang bakal diterima dalam pertandingan itu.

NORANIZA enggan fikir soal tekanan.
NORANIZA enggan fikir soal tekanan.

"Saya pernah masuk pertandingan nyanyian dan sedia tahu akan tekanan yang bakal dihadapi, apatah lagi bakal menyanyikan lagu atau genre yang belum pernah dinyanyikan.

"Cuma, saya lebih selesa meletakkan ia bukan sebagai pertandingan, tapi hanya satu program persembahan. Malah, saya sendiri akan mengikuti kelas vokal yang disediakan pihak pengurusan," katanya.

Dalam masa sama, Noraniza turut dinasihati untuk tidak melihat segala komen berbaur negatif sepanjang terbabit dalam GV7 nanti.

"Saya dinasihatkan untuk tidak melihat kritikan negatif kerana ia boleh mengganggu emosi. Bagaimanapun, kritikan yang membina saya akan ambil dan negatif elakkan untuk membaca.

"Saya jenis mudah dipengaruhi dan bila baca di media sosial misalnya, akan rasa sedih.

Saya percaya orang akan hentam, keluarkan cerita lama dan sebagainya. Jadi lebih baik untuk tidak ambil pusing," katanya.

Namun, Noraniza berkata dia terbuka untuk menerima kritikan daripada pihak juri.

"Untuk terima komen daripada juri profesional, saya tiada masalah. Mereka tahu apa yang dilakukan dan saya percaya reaksi mereka selepas kita selesai buat persembahan adalah untuk mendidik.," katanya.

GV7 masih mengekalkan pengacara sama iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse selain menampilkan juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Selain Noraniza, 13 peserta lain Mus, Yantzen, Cliff Umar, Aju, Oja, Nomad, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira, Haslinda serta dua kumpulan iaitu Eva dan Indigo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:19 AM