AKUR Konsert Malai Solo ditangguh lagi.
AKUR Konsert Malai Solo ditangguh lagi.
Ridzuan Abdul Rahman


MEMULAKAN kerjaya nyanyian sejak usia awal remaja membuatkan penyanyi popular irama Malaysia, Noraniza Idris, 54, kental berdepan cabaran mendatang.

Segala badai serta onak duri yang ditempuh membuatkan penyanyi dari Kluang, Johor ini kekal bertahan dalam industri seni hiburan tanah air.

Noraniza kini terus diuji apabila Konsert Malai Solo yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 21 hingga 23 Oktober depan ditangguhkan lagi atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Banyak perkara yang membawa kepada penangguhan ini antaranya saya dalam keadaan kerja 'back to back'. Bila kita terbabit dalam kerja dengan masyarakat, memang terasa letih. Bertambah lagi apabila bercampur dengan perkara negatif buatkan saya rasa tak sihat, rasa sakit.

"Perkara ini sehingga membawa pengurusan saya, Mind Order turut serta dan beri satu pandangan serta cadangan bagaimana untuk memulihkan keadaan," katanya.

Beberapa faktor yang disebut menjadi punca penundaan ini ialah Pilihan Raya Umum (PRU) yang dikatakan bakal berlangsung selain ketiadaan pengarah muzik Datuk Ramli MS untuk terbabit dalam konsert ini.

Selain itu, faktor jadual yang terlalu padat dalam program Akar Kita Zapin (AKZ) di beberapa lokasi seluruh negara membuatkan Noraniza kekurangan rehat.

NORANIZA tetap rancang adakan Konsert Malai Solo walaupun ditangguhkan.
NORANIZA tetap rancang adakan Konsert Malai Solo walaupun ditangguhkan.

"Diikutkan untuk konsert selama tiga malam, saya perlukan sekitar 45 hari untuk berlatih. Tapi, dalam keadaan sekarang, AKZ ada banyak lokasi.

"Menjelang konsert perlu ada latihan. Kesihatan kena jaga. Apabila macam ini, saya agak 'stress' (tertekan). Tengok pada keadaan, saya tak sempat untuk saya buat latihan.

"Tok Ram pula tak boleh mengelak dari Gegar Vaganza kerana peserta kali ini hebat-hebat. Saya pula tetap nak Tok Ram juga kerana mahukan konsep muzik macam dulu," katanya.

Noraniza menegaskan tiket konsertnya sudah terjual 15 peratus.

Bagaimanapun, situasi yang berlaku membuatkan dia mengambil keputusan menghentikan promosi konsertnya.

"Berita baiknya kami tak perlu bayar semula atau perlu bercakap dengan seorang demi seorang pembeli tiket. Kalau buat promosi lanjut mungkin saya agak pening uruskan tiket untuk tiga malam itu.

"Konsep jualan pula secara 'bulk sale' pada jabatan kerajaan dan korporat. Cuma untuk sekolah belum sempat dibuat lagi. Tunggu saya dan Tok Ram ada masa untuk kembali bekerjasama dalam konsert ini," katanya.

Sementara itu, Noraniza mahu menumpukan perhatian terhadap staminanya. Namun dia tetap merancang mengadakan Konsert Malai Solo berskala kecil.

NORANIZA kental berdepan cabaran sebagai anak seni.
NORANIZA kental berdepan cabaran sebagai anak seni.

"Skala besar Konsert Malai Solo akan dibuat betul-betul pada waktu yang tepat. Lokasi berubah dan harga tiket juga pasti berubah. Konsert saya sebenarnya babitkan banyak kementerian. Mungkin rezeki lain selepas ini.

"Sebenarnya, ketika buat 'proposal' saya ikut cadangan kelapangan Istana Budaya. Mereka bagi jadual dan kami kena ikut. Sekarang masa untuk rehat dan bersedia dari segi mental. Nak buat konsert kena fikir betul-betul," katanya.

Dalam pada itu Noraniza lega dapat memberikan penjelasan terbadap kemelut yang melanda dirinya membabitkan isu pengambilan wang untuk skim perumahan.

"Saya kata kalau nak sertai tanpa paksaan dan hanya bayar RM10 dan tak lebih dari itu. Saya minta tolong Anne Abdullah kerana dia ada persatuan. Hari-hari saya peka dengan isu yang dibangkitkan membabitkan syarikat itu.

"Namun saya tegaskan kami tiada kena-mengena secara langsung dengan syarikat itu. Sepanjang masa saya tanya mereka semua dengan pelbagai soalan, tapi tiada sesiapa dari syarikat itu dapat berikan jawapan," katanya yang memutuskan ikatan dengan syarikat terbabit pada 27 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 6:30 AM