14 peserta bakal berentap di pentas Gegar Vaganza 7.
14 peserta bakal berentap di pentas Gegar Vaganza 7.
Syafil Syazwan Jefri

PROGRAM yang dinanti-nantikan oleh setiap pengikut industri hiburan tanah air, Gegar Vaganza (GV) kini kembali untuk musim ketujuh.

Bakal bersiaran secara langsung bermula 11 Oktober ini, GV7 membariskan 14 peserta, dan itu menjadi keunikan terkini berbanding musim terdahulu.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, GV7 juga akan menampilkan pelbagai keunikan lain lagi.

"Selain jumlah peserta yang ditambah kepada 14 berbanding 12 peserta dalam musim lalu, barisan-peserta GV7 juga akan bertanding selama 11 minggu.

"Sebelum ini, peserta GV hanya bertanding dalam lapan minggu dan bermula musim lalu, kami jadikannya 11 minggu dan akan diteruskan," katanya.

Justeru, 14 peserta dalam GV7 kali ini ialah Mus, Yantzen, Cliff Umar, Aju, Oja, Nomad, Noraniza Idris, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira, Haslinda serta dua kumpulan iaitu Eva dan Indigo.

Tentunya, setiap daripada mereka memiliki kekuatan dan keunikan tersendiri dalam membuat persembahan masing-masing.

NORANIZA Idris
NORANIZA Idris

Malah, rata-rata kebanyakan peminat agak terkejut apabila nama Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris berada dalam senarai peserta.

Noraniza atau mesra disapa sebagai Kak Ani, berkata dia membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada pihak produksi rancangan ini di saat akhir.

"Mereka dah beberapa kali memujuk saya untuk menyertai GV sebelum ini, tapi saya ambil masa untuk berfikir.

"Namun, kali ini di saat akhir, saya buat keputusan untuk menyertai program ini dan teringin juga mencuba nasib," katanya.

Penyanyi, Ayu Damit yang muncul menerusi program realiti One In A Million (OIAM) juga meluahkan rasa teruja serta terharu apabila dia terpilih.

"Ini adalah platform terbaik untuk saya mengembangkan lagi nama di samping menaikkan semula kerjaya seni diceburi," katanya.

Bagi bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Linda Nanuwil berkata, rezeki untuk menyertai GV7 umpama peluang kedua buat dirinya.

"Saya harap, pembabitan dalam pertandingan ini dapat menjadi pembuka pintu rezeki buat kerjaya seni ke arah lebih baik," katanya.

Masih mengekalkan format pemarkahan 100 peratus daripada juri profesional, GV7 masih meletakkan Datuk Ramli MS sebagai ketua juri di samping meraikan Datuk Khatijah Ibrahim yang kembali berada di kerusi juri.

Sehubungan itu, GV7 masih mengekalkan gandingan duo pengacara hebat tanah air iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

LINDA Nanuwil
LINDA Nanuwil

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 6:25 AM