KAMAL Adli turut bergandingan dengan Ain Edruce sebagai pengacara.
KAMAL Adli turut bergandingan dengan Ain Edruce sebagai pengacara.
Syafil Syazwan Jefri

PROGRAM pertandingan nyanyian Lagu Cinta Kita (LCK) kini sudah masuk musim ketiga dan bakal ditayangkan bermula 31 Oktober ini.

Masih lagi mengekalkan gandingan juri 'berbisa', Ajai dan Mas Idayu, tentunya proses penjurian akan berlangsung gamat buat semua pasangan peserta yang bertanding.

Cukup dikenali sebagai juri yang tegas dan lantang, Mas Idayu juga sering dilabel sebagai juri yang garang terhadap peserta program realiti yang diadilinya.

"Saya tak boleh nak jadi orang lain. Saya sentiasa menjadi diri saya sendiri. Kalau orang tengok saya dari awal lagi, tentunya mereka sedia maklum mengenai cara saya menjadi juri," katanya.

Berkongsi mengenai proses penjurian LCK3, Mas Idayu berkata, dia dan rakan seperjuangannya di kerusi juri ingin mendidik setiap pasangan peserta.

"Walaupun kita tahu akan ada ketegangan di antara juri, tapi, tujuannya sama iaitu untuk mendidik peserta.

"Kedua-dua anggota pasangan perlu menyanyi dengan bagus. Kalau seorang sahaja yang bagus dan seorang lagi sebaliknya, minta maaf," katanya.

MAS Idayu dan Ajai selaku juri tetap.
MAS Idayu dan Ajai selaku juri tetap.

Menurut Mas Idayu, peserta juga perlu 'bercinta' di dalam lagu sebaik mungkin.

"Kalau mereka pandai berlakon dan nampak seperti bercinta dalam lagu itu, tentunya kami di kerusi juri akan dapat merasakan persembahan itu.

"Kalau mereka tak bercinta sekalipun, tapi pandai 'tipu' konon-konon mereka bercinta sehingga meyakinkan kami, itu bererti usaha mereka berhasil," katanya.

Bagi Ajai, apa yang paling penting adalah kemampuan vokal setiap peserta.

"Walaupun kita melihat LCK sebagai program mencungkil bakat nyanyian yang menerapkan nilai romantik, namun, keutamaan masih lagi pada nyanyian.

"Kalau nak bercinta sebagai pasangan, menyanyi kena tepat kerana itu yang akan diadili. Berikan 100 peratus. Kalau tidak, kami di kerusi juri akan nampak ketidakikhlasan mereka dalam membuat persembahan," katanya.

Selain Mas dan Ajai, LCK3 akan diserikan oleh pengacara Ain Edruce dan Kamal Adli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:20 AM