HALIM menyediakan minuman untuk Muhammad Khaidir yang dirawat di Hospital Selayang.
HALIM menyediakan minuman untuk Muhammad Khaidir yang dirawat di Hospital Selayang.
Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Kasih bapa membawa bahagia. Itu perumpamaan sesuai buat Halim Awang Ahmad, 56, yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga menjaga arwah ibu, arwah isteri, arwah mentua dan kini anaknya yang menderita kanser usus tahap tiga di Hospital Selayang sejak awal tahun ini.

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, Halim kini sekali lagi berdepan perasaan kehilangan orang tersayang apabila anak lelakinya, Muhammad Khaidir, 25, disahkan menghidap penyakit sama yang meragut nyawa ibu tercintanya.

“Kesedihan menyaksikan penderitaan ibu dan isteri meninggal dunia akibat kanser belum boleh dilupakan, kini saya perlu melaluinya sekali lagi.

“Saya sudah terlalu lama menjaga orang sakit. Ibu kandung saya meninggal dunia akibat kanser hati 15 tahun lalu. Ibu mentua pula meninggal dunia lima tahun kemudian akibat kanser usus dan dua bulan selepas itu, isteri pula juga kanser usus dan kini anak lelaki bertarung nyawa.

“Saya tidak pernah menyalahkan takdir, namun saya sanggup lakukan apa saja untuk menggantikan tempat anak yang masih muda,” katanya berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Halim yang menghidap sakit jantung dan darah tinggi tidak menghiraukan kesihatan dirinya, malah sanggup menumpang di Anjung Kasih di Hospital Selayang kerana tidak mahu berjauhan dengan anaknya.

Sementara itu, Muhammad Khaidir reda dengan ketentuan Allah SWT apabila dia mewarisi penyakit arwah neneknya, namun dia perlu bersyukur kerana sering ditemani bapa yang tidak putus memberinya semangat.

“Pernah sekali ayah di masukkan ke dalam wad di hospital sama kerana tekanan darah tinggi akibat terlalu penat menjaga saya. Ketika itu saya fikir hanya Allah SWT yang boleh membalas jasa ayah.

“Jasa ayah terlalu besar buat kami sekeluarga. Saya sendiri melihat dia mengorbankan banyak perkara semata-mata memastikan kami dijaga dengan sempurna,” katanya.

“Biarpun kami tidak dilimpahi dengan kekayaan, namun kami adik beradik bahagia mempunyai ayah yang sentiasa berusaha memberi keselesaan sehingga hari ini,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 9:02 AM