EMRAN bersama anaknya, Aleesya. FOTO ihsan IG
EMRAN bersama anaknya, Aleesya. FOTO ihsan IG
Syafil Syazwan Jefri


AHLI perniagaan, Engku Emran yang juga suami kepada pelakon Laudya Cynthia Bella memuat naik ucapan terima kasih kepada anaknya, Engku Aleesya yang menitipkan ucapan selamat hari bapa.

Dalam muat naik itu, bekas suami kepada pelakon dan penyanyi Erra Fazira itu turut berkongsi gambarnya dengan tulisan ucapan daripada Aleesya.

"Terima kasih, sayang. Ia adalah sesuatu yang sangat bermakna. Perkara yang selalu buatkan ayah rasa risau adalah apabila tak tahu apa yang bermain dalam perasaan Aleesya.

"Ayah doakan Aleesya sentiasa menjadi penyejuk mata ayah," tulisnya.

Dalam ucapan Aleesya yang kini berusia 11 tahun, dia mengucapkan terima kasih kepada Emran yang sentiasa ada dengannya dalam apa juga situasi.

"Selamat hari bapa kepada ayah saya yang rajin dan penuh dengan kasih sayang. Terima kasih kerana menyokong saya sejak 11 tahun lalu dan saya harap, ayah akan sentiasa ada bersama saya sehingga saya dewasa.

"Ayah dah membantu saya dalam pelbagai situasi tidak kiralah besar atau kecil. Menitipkan rasa penghargaan dalam bentuk kata-kata mungkin sukar, tapi lebih baik dalam perbuatan. Sayang ayah," tulisnya dalam titipan penuh kasih sayang itu.

Perkongsian Emran di Instagramnya itu menerima lebih 17,800 tanda suka daripada warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 12:02 PM