ERRA Fazira hadir ke sidang media TV9 Nasi Lemak Kopi O di Bangsar Shopping Centre. FOTO Aziah Azmee
ERRA Fazira hadir ke sidang media TV9 Nasi Lemak Kopi O di Bangsar Shopping Centre. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal

 

Bangsar: "Ibu bapa perlu rendahkan ego masing-masing dan beri keutamaan kepada kebahagiaan anak selepas bercerai," kata pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira.

Menurut Erra ketika diminta mengulas isu perebutan anak yang berlaku di kalangan pasangan selepas berlakunya perceraian.

Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek berkata dia juga berdepan dengan isu hak penjagaan anak ketika bercerai dengan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin sebelum ini.

Katanya, ketika bercerai dengan Engku Emran, dia yang mula mengalah kerana tidak mahu beri tekanan kepada anak, Engku Aleesya.

"Bila bercerai keadaan memang tegang bila babitkan soal anak dan nasihat saya kepada pasangan yang bercerai, sebagai orang  dewasa, kita letakkan ego ke tepi dan kena fikir lebih soal anak.

"Salah seorang juga kena mengalah dalam hal yang membabitkan soal penjagaan anak ini supaya tidak beri tekanan kepada mereka," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mengulas isu perebutan anak lagi, kata Erra yang dibesarkan ibunya yang berstatus ibu tunggal, dia juga mahukan anaknya mendapat kasih sayang lengkap dari kedua ibu dan bapa.

"Saya dibesarkan ibu tunggal dan tidak dapat kasih sayang bapa sebab itu saya nekad mahu anak dapat kasih sayang kedua-duanya sekali  ibu kerana tidak mahu menggangu proses pembesarannya," katanya.

Sementara itu, ditanya pandangan mengenai trend selebriti meluahkan isu pergaduhan rumah tangga di media sosial pula, kata Erra, tidak semua perkara boleh dikongsi kepada umum.

Katanya, orang luar juga tidak perlu mengetahui isu pergaduhan sesebuah rumah tangga di media sosial.

Untuk rekod, Erra pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali. 

Kali pertama, Erra pernah berkahwin dengan komposer dan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003 tetapi bercerai pada 2006.

Setahun kemudian, Erra berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun. 

Namun, Erra dan dan Emran bercerai  selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 10:10 AM