PENGARAH Mamat Khalid membuat persembahan bagi memeriahkan tayangan perdana Rock 4 Rockers Never Dai di mmCineplexes @ E-Curve, Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
PENGARAH Mamat Khalid membuat persembahan bagi memeriahkan tayangan perdana Rock 4 Rockers Never Dai di mmCineplexes @ E-Curve, Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
Ridzuan Abdul Rahman


BARING sambil memberi arahan.

Inilah yang dilakukan pengarah popular, Mamat Khalid ketika mengarahkan filem terbarunya, Rock 4 - Rockers Never Dai kerana mengalami masalah kesihatan.

Mamat ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana walaupun dalam keadaan begitu, filem berkenaan berjaya disiapkan.

“Ketika penggambaran, saya banyak terbaring sambil memberi arahan. Pembantu saya dan pengarah fotografi yang mengadun semuanya hingga sempurna.

"Saya bersyukur kerana memiliki pasukan yang baik dan sentiasa bekerjasama. Pengarah fotografi yang baik, penolong pengarah yang rajin dan semua tenaga kerja serta pelakon yang tidak bermasalah,” katanya.

Mamat yang kini perlu menggunakan kerusi roda berkata, dia mengalami mengalami masalah air berlebihan dalam badan ketika penggambaran filem berkenaan.

“Paru-paru juga penuh air. Saya juga susah nak bernafas. Mulanya saya tak faham kenapa perkara ini terjadi dan pernah terfikir saya terkena buatan orang.

“Saya kemudian berjumpa doktor dan disahkan menghidap pneumonia. Paru-paru sudah dipenuhi air. Apabila pundi hati, jantung tak sekata, air berkumpul dan tak dapat pergi mana, ia perlu dikeluarkan," katanya.

Mamat berkata, doktor turut membuat keputusan menidurkannya selama 21 hari.

"Kalau tak silap saya, minimum koma untuk manusia biasa hanya 15 hari. Saya juga kena buat dialisis 13 kali sedangkan orang lain tak kena sebanyak itu. Alhamdulillah, selepas 21 hari koma, hari yang ke 30 saya dibenarkan keluar," katanya.

Mamat berkata, selepas apa yang berlaku, dia cuba mengehadkan minum air.

"Tapi saya lupa dan terus minum air batu dan cendol yang mengandungi susu. Hati memang tak boleh terima susu. Akhirnya saya dimasukkan semula ke hospital. Ramai yang ingat saya sudah tiada harapan.

"Kemudian keluar semula dan baru-baru ini masuk hospital lagi. Keadaan saya teruk juga," katanya yang menganggap dirinya berasa kuat apabila dikelilingi rakan-rakan dan peminat.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid pernah dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada akhir Januari tahun lalu dan koma lebih dua minggu.

Dia kemudiannya dimasukkan lagi ke hospital berikutan masalah sama pada pertengahan Oktober.

Bagaimanapun apa yang berlaku tidak menjejaskan penggambaran filem Rock 4 - Rockers Never Dai yang akan ditayangkan mulai 20 Februari ini.

Filem terbitan Primeworks Studios ini menampilkan pelakon Hazama, Bulan Terry, Sharwani NS, Adam John dan Nazimi Fahmi.

Ia turut menampilkan Datuk Awie, Khir Rahman, Madnoor Hendrix, Edrie Hashim, Pekin Ibrahim dan Kamarool Yusof sebagai bintang undangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:11 PM