MAMAT  Khalid pada Majlis Tayangan Perdana filem berjudul Amir Loqman Pergi ke Laut di eCurve Damansara. FOTO Nashairi Mohd Nawi.
MAMAT Khalid pada Majlis Tayangan Perdana filem berjudul Amir Loqman Pergi ke Laut di eCurve Damansara. FOTO Nashairi Mohd Nawi.
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: “€œSaya baru sangat (dibenarkan) keluar. Sekarang saya nak lepas geram lepak di Amcorp Mall sebab dah lama tak datang sini,”€ kata pengarah filem Mamat Khalid secara bergurau ketika berkongsi berita dia dibenarkan keluar daripada wad Pusat Perubatan Assunta Petaling Jaya dekat sini, sebentar tadi.

Mamat atau nama sebenarnya Mohammad Mohammad Khalid, 51, mengakui dia begitu teruja dan segar selepas disahkan doktor keadaan kesihatannya stabil semula.

“€œSelepas ini saya akan balik Ipoh terus dan dinasihatkan doktor untuk berehat sepenuhnya untuk dua minggu.

“€œSaya tak dibenarkan buat apa-apa kerja termasuk penggambaran pun. Tak apalah rehat-rehat dulu sebab dah terlalu kuat bekerja selama ini,”€ katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini.

Jumaat lalu, Mamat dikejarkan ke Hospital Assunta sekitar jam 8 pagi selepas mengadu sakit dada. Setibanya di hospital, dia mendapat serangan jantung yang memaksa satu pembedahan kecil dilakukan keesokan hari.

Isterinya Hasmah Hassan, 50, dalam kenyataannya kepada Harian Metro Sabtu lalu berkata, pengarah filem Amir dan Lokman Pergi Ke Laut itu ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana masalah jantung tersumbat.

Kata Hasmah, Mamat mengadu keletihan sejak Khamis berikutan jadual kerjanya yang padat sejak seminggu lalu.

Mamat yang sedang menjalani penggambaran telefilem Pindah Randah di Perak untuk Astro kerap berulang-alik ke sini sepanjang minggu ini bagi memenuhi beberapa komitmen rakaman program televisyen.

Berikutan masalah jantung itu, Mamat yang sepatutnya membuat persembahan pembukaan anugerah Festival Filem Malaysia ke-26 malam Sabtu lalu terpaksa membatalkan hasrat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 4:27 PM