MAMAT Khalid (tengah) bergambar bersama Rockers Era1980-an selepas tontonan percuma Filem Rock 4: Rocker Never Dai untuk Rockers Era 1980-an anjuran oleh Persatuan Pemuzik Wilayah Dorai (PPWD) di TGV Wangsa Walk. FOTOASWADI ALIAS
MAMAT Khalid (tengah) bergambar bersama Rockers Era1980-an selepas tontonan percuma Filem Rock 4: Rocker Never Dai untuk Rockers Era 1980-an anjuran oleh Persatuan Pemuzik Wilayah Dorai (PPWD) di TGV Wangsa Walk. FOTOASWADI ALIAS
Ridzuan Abdul Rahman


PENGARAH dan penulis skrip filem Rock 4: Rockers Never Dai, Mamat Khalid melahirkan perasaan gembira apabila filem terbabit berjaya mencapai kutipan RM2 juta selepas tamat Skim Wajib Tayang pada 6 Mac lalu.

Mamat berkata, jumlah kutipan itu menyuntik semangat untuknya terus berkarya menghasilkan filem-filem menarik buat penonton.

“Alhamdulillah, kutipan ini berjaya diperolehi dalam keadaan yang mencabar sekarang. Pada saya ia memberi semangat untuk saya terus aktif buat filem.

“Mulanya saya ingat ramai yang tak suka filem ini kerana saya tampilkan karakter baru dan cerita baru berlatar zaman sekarang.

“Hanya yang kental rock akan faham kenapa saya buat cerita ini dan pergi menonton. Pada saya, sama ada orang suka atau tidak atau tengok atau tidak, suatu masa nanti ia tetap akan menjadi filem klasik seperti filem saya yang lain,” katanya.

Terdahulu, Mamat sebelum ini tidak menolak situasi penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan sambutan tayangan filem terbarunya yang mula ditayangkan bermula 20 Februari lalu.

“Penyakit Covid-19 ini memang bawa kesan. Kawan saya, seorang penerbit filem sanggup tarik balik tayangan filemnya kerana wabak itu.

“Katanya tindakan ini perlu dibuat kerana kehadiran pengunjung ke kompleks membeli belah amat kurang.

“Saya mulanya saya kurang percaya. Tapi, saya akhirnya akui kebenaran ini kerana melihat sendiri banyak kompleks membeli belah mengalami kekurangan pengunjung sekarang,” katanya.

Mamat ditemui ketika hadir ke program Jom Layan Wayang Rock 4 anjuran Persatuan Pemuzik Dorai Wilayah di TGV Wangsa Walk malam tadi.

Program ini turut dihadiri pelakon, Pekin Ibrahim serta pemuzik dan penyanyi era 80-an sehingga 90-an seperti Acong Sweetchild.

Menurutnya, bukan saja filem terbitannya, malah filem luar juga mengalami kemerosotan kutipan ketara kerana orang takut berkunjung ke tempat yang terdedah dengan virus terbabit.

Selain penularan virus Covid-19, situasi politik tanah air juga dikatakan memberikan kesan terhadap tayangan filemnya.

Filem Rock 4: Rockers Never Dai terbitan Primeworks Studios ini menampilkan pelakon Hazama, Bulan Terry, Sharwani NS, Adam John dan Nazimi Fahmi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 5:56 PM