Din CJ bersama barisan pelakon supertele Budak Kripto di Hulu Kelang. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Din CJ bersama barisan pelakon supertele Budak Kripto di Hulu Kelang. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ramlah Zainal


PENGARAH yang pernah mencetus fenomena menerusi drama bersiri popular Cinderella (TV3) pada 1998, Din CJ menyepi diri selama enam tahun kerana merajuk dan kecewa dengan industri seni tanah air.

Menurut Din CJ atau nama sebenar, Nordin Wahab, 52, lebih mengecewakan bayarannya sebagai pengarah drama dan filem berpengalaman lebih 20 tahun juga tidak setimpal.

"Siapa yang tidak sedih dan kecewa apabila bayaran ditawarkan selaku pengarah jauh lebih murah?.

"Bukannya mahu 'demand' tapi biarlah bayaran berbaloi dengan kerja keras dan komitmen yang diberikan.

“Bayaran pengarah dulu dan sekarang sangat berbeza.

Pada era 1990-an dulu, paling sedikit pun pengarah dibayar sebanyak RM10 hingga RM15 ribu untuk projek drama bersiri," katanya kepada Harian Metro.

Namun, kata Din CJ, bayaran untuk pengarah berpengalaman jauh lebih murah hari ini, malah ada pihak sanggup bayar jauh lebih mahal kepada pelakon berbanding pengarah.

“€œPenerbit dan pihak stesen TV mahukan hasil karya gred A tetapi kadar bayaran pengarah pula dengan bajet gred D.

“Lebih teruk lagi, ada pengarah muda yang sanggup dibayar RM5 ribu semata-mata mahu membina nama sekali gus merosakkan industri seni.

"Apabila saya bersuara kerana tidak berpuas hati dengan bayaran dan kualiti pelakon, nama saya pula disenarai hitam pihak stesen TV selama empat tahun," katanya.

Din CJ berkata pada majlis pelancaran Supertele Budak Kripto di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Hulu Klang, baru-baru ini.

Bukan saja bayaran sebagai pengarah tidak setimpal, kata Din CJ, pelakon ditampilkan dalam projek drama ketika ini juga tidak berkualiti seperti diharapkan.

“œSayaa kecewa dengan budaya di lokasi penggambaran sekarang yang tidak lagi sama seperti dulu.

“€œContohnya, ada pelakon yang hanya harapkan wajah cantik semata-mata tetapi tidak ada ilmu lakonan.

“€œAda pelakon yang datang ke lokasi penggambaran sambil lewa dan tidak serius. Malah, sibuk berkepit dengan telefon bimbit dan memuat naik status di laman sosial.

“Bukan itu saja, ada pelakon tidak mahu datang ketika sesi pembacaan skrip. Lebih teruk lagi,ada yang terus bertanya berapa bayaran sedangkan mereka belum tahu pun watak dan karakter dilakonkan,”€ katanya.

Diminta mengulas dakwaan dirinya sudah tidak relevan dengan industri seni tanah air, Din CJ menafikannya.

"Saya menyepikan diri untuk menimba ilmu dalam bidang pengarahan dan belakang tabir di luar negara termasuk di Thailand dan Indonesia.

"Saya masih dalam proses belajar ilmu pengarahan sampai sekarang dan selepas sekian lama, saya tampil dengan projek terbaru Supertele Budak Kripto khusus untuk peminat menanti karya terbaru.

"Supertele ini mempertaruhkan bakat baru Zam Azmi dan Nurul Hida selaku teraju utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 1:52 PM