NABIL akan ke Tanah Suci Makkah pada Disember nanti.
NABIL akan ke Tanah Suci Makkah pada Disember nanti.
Ramlah Zainal


SELEPAS sedekad membina nama dalam dunia hiburan, sampai masanya pelawak dan pengacara popular Nabil Ahmad, 36, mengembangkan sayap­nya dalam bidang penerbitan sebagai jaminan masa depan.

Impian juara program realiti Raja Lawak musim kedua itu untuk bergelar penerbit jadi kenyataan menerusi penubuhan syarikat KMN Production Sdn Bhd bersama rakan kongsi, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman, 35, sejak lapan bulan lalu.

Menurut anak jati Mambau, Negeri Sembilan itu, dia juga pernah berdepan dengan ujian ketika mula-mula menubuhkan produksi Nabil Production sebelum ini.

“Saya masih ingat lagi, Nabil Production hanya bertahan enam bulan dan terpaksa ditutup kerana rakan kongsi terdahulu tidak berminat untuk meneruskannya.

“Saya juga berdepan kesukaran tetapi Allah SWT menghantar insan mulia, Khairil yang juga sepupu isteri, Nazirah Ayub untuk membantu ketika itu.

“Malah, saya juga terhutang budi dengan Khairil kerana dia menyalurkan RM900,000 untuk saya meneruskan beberapa projek yang sudah direncanakan, sekali gus menjadi rakan kongsi baru,’ katanya.

NABIL bersama keluarga tersayang.
NABIL bersama keluarga tersayang.

Bagaimanapun, kata Nabil, dia hanya menjadi pencetus idea dalam syarikat KMN Production dan Khairil yang merealisasikan karyanya itu.

“Saya tidak patah semangat untuk meneruskan kerja penerbitan kerana mahu duduk di kerusi pengarahan nanti.

“Khairil, ahli korporat yang banyak mengajar saya selok-belok dunia perniagaan termasuk penyediaan kertas cadangan projek, sekali gus membina keyakinan diri.

“Alhamdulillah, kami tidak menang tangan dengan projek sepanjang 2019. Antara projek supertele yang dihasilkan adalah Fan Fanatik, The Hantus, Datuk S, Lantanas dan This Is Raya,” katanya.

Mengenai projek syarikat pula, kata Nabil, pihaknya merancang untuk menghasilkan supertele, drama atau telefilem yang ada kelainan.

“Tiga projek telefilem iaitu Datuk S, Lantanas dan This Is Raya sudah bersiaran di saluran berbayar pada Aidilfitri, baru-baru ini.

“Saya juga diberi kepercayaan menggalas tugas penolong pengarah dan penulis skrip menerusi tiga telefilem ini,” katanya.

Selepas sibuk dengan kerja di belakang tabir penerbitan, Nabil semakin jarang muncul dalam program berbentuk komedi di kaca televisyen.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, dia mahu melakukan perubahan dalam karier seni yang sudah diceburi sekian lama.

“Saya mahu menceburi bidang yang lebih mencabar selepas sekian lama di pentas lawak. Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelawak tetapi hakikatnya lebih berminat menghasilkan kisah yang lebih serius untuk sajian penonton,” katanya.

Nabil berkata, syarikat produksi KMN Production bukan sekadar menerbit­kan kisah atau program komedi tetapi cerita yang lebih serius.

“Kami akan menghasilkan supertele Marwah yang menjalani penggambaran di Makkah pada penghujung tahun ini. Saya juga selaku penolong pengarah supertele ini.

“Marwah menceritakan kisah Safa dan Marwah di Makkah. Insya-Allah, kami akan ke Tanah Suci Makkah pada Disember nanti,” katanya.

Bagaimanapun, kata Nabil, dia hanya bersedia menduduki kerusi pengarah dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Saya juga masih mencari ilmu dalam bidang pengarahan termasuk mempelajari aspek teknikal kerana ia memerlukan masa dan pengalaman,” katanya.

KHAIRIL bantu Nabil dalam bisnes penerbitan. FOTO: Mahzir Mat Isa
KHAIRIL bantu Nabil dalam bisnes penerbitan. FOTO: Mahzir Mat Isa

Sementara itu, Khairil pula mengakui dia yakin untuk menjadi rakan kongsi Nabil dalam syarikat KMN Production kerana melihat bakat besarnya sebagai penulis skrip.

“Saya bertemu dengan Nabil dan terpanggil untuk membantunya selepas mendapat tahu Nabil Production berdepan masalah dan terpaksa ditutup sebelum ini.

“Walaupun pelawak, Nabil seorang yang serius, idea serta pemikirannya lain daripada yang lain. Selain itu, Nabil seorang yang jujur dan amanah dalam menguruskan wang ringgit,” katanya.

Selain sebagai rakan kongsi, Khairil juga menjadi pelakon undangan dalam supertele Datuk S terbabit.

“Saya hanya berlakon dalam syarikat produksi sendiri dan bukan milik orang lain. Ia kemunculan pertama saya dalam supertele Datuk S. Ia memaparkan kisah penipuan wang haram yang jarang ditampilkan di kaca TV,” katanya.

Ditanya projek filem pula, kata Khairil, pihaknya merancang untuk menerbitkan filem tidak lama lagi.

“Kami bukan sekadar mahu membina nama sebagai syarikat produksi, saya dan Nabil juga bercita-cita mahu membina taman tema pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 5:30 AM