DIN CJ.
DIN CJ.
Ramlah Zainal

Selepas enam tahun, pengarah yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama bersiri Cinderella pada 1998, Din CJ kembali dengan drama Budak Kripto untuk mengubat kerinduan peminat.

Selaku pengarah, Din CJ, 52, mempertaruhkan gandingan bakat baru seperti Zam Azmi dan Nurul Hida selaku teraju utama drama itu kerana yakin dengan bakat mereka.

“Misi saya mahu menggilap bakat baru untuk diketengahkan dalam bidang lakonan. Pemilihan Zam Azmi dan Nurul Hida selaku watak utama juga menerusi sesi uji bakat yang diadakan sebelum ini.

“Bagi memastikan kualiti karya terbaru ini, saya juga sanggup mengeluarkan bajet yang tinggi mengambil guru lakonan seperti Fauziah Ahmad Daud dan Norzizi Zulkifli untuk melatih bakat baru sebelum mereka memasuki set penggambaran,” katanya.

Din CJ ditemui pada majlis pelancararan Supertele Budak Kripto yang berlangsung di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), baru-baru ini.

Mengulas mengenai pemilihan barisan pelakon, Din CJ berkata, drama itu menampilkan nama besar dalam bidang hiburan tanah air untuk memantapkan lagi jalan ceritanya.

“Rata-rata nama besar yang ditampilkan seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Acappan dan pengarah terkenal Mamat Khalid adalah rakan seperjuangan saya dalam bidang seni.

“Jika nak diikutkan babak mereka tidak banyak pun hanya satu atau dua babak tetapi saya pastikan bayaran berbaloi buat mereka,” katanya.

SEBAHAGIAN pelakon Budak Kripto.
SEBAHAGIAN pelakon Budak Kripto.

Ia turut menampilkan Datuk David Arumugam, Liza Abdullah, Kazar, A Galak,Yank Kassim dan TS Jefrey.

Selain bakat baru, cerita ini juga menampilkan pelakon popular seperti Fahrin Ahmad, Afifah Nasir dan Allana Amir.

Ditanya dari segi jalan cerita, Din CJ berkata, 50 peratus daripada jalan cerita Budak Kripto membabitkan kisah benar sekali gus memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Kisah bermula apabila Putra (lakonan Zam Azmi) terbabit dengan penipuan skim cepat kaya membabitkan pelaburan wang jutaan ringgit hingga dia kehilangan ahli keluarga.

“Akhirnya, Putra bertemu Bro Mus Leader yang memperkenalkannya dengan mata wang Kripto sekali gus mengubah nasibnya.

“Penggambaran bermula 25 April lalu dan membabitkan tempoh hampir dua minggu membabitkan lokasi sekitar Tanjung Malim, Teluk Intan dan Ipoh, Perak,” katanya.

Budak Kripto ini terbitan A&S Pictures dan Manja Citra Sdn Bhd dan untuk saluran Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 9:26 AM