Heykal tegur pelakon supaya letak harga ikut pasaran. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Heykal tegur pelakon supaya letak harga ikut pasaran. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Ramlah Zainal


PENGARAH, Heykal Hanifah mengakui dia tidak akan bekerjasama dengan pelakon yang mendapat bayaran lebih tinggi darinya dalam sesebuah projek drama.

Menurut Pengarah Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 menerusi drama Titian Cinta itu, dia bukannya demand sebaliknya itu memang prinsipnya sejak dulu.

“Bagi saya, pengarah ibarat nakhoda dalam sesebuah produksi drama.

“Sebagai pengarah, saya juga terbabit dari proses awal iaitu pra-produksi, penggambaran hinggalah kerja suntingan sesebuah drama itu.

“Itulah yang saya belajar dengan guru saya dalam bidang pengarahan dulu,”katanya.

Heykal berkata ketika ditemui pada sidang media selepas malam kemuncak Anugerah DFKL 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Justeru, kata Heykal, pelakon tempatan juga diminta tidak meletak harga tidak munasabah dengan bersandarkan populariti dan pengikut yang tinggi di laman sosial.

“Saya berharap pelakon kita tidak letak harga yang merepek dan perlu sedar dengan harga mengikut pasaran dan bajet ditetapkan dalam sesebuah projek drama itu.

“Mereka perlu sedar kita berada di Malaysia dan bukannya di luar negara,”katanya.

Bagaimanapun, kata Heykal, setakat ini dia tidak ada masalah dengan pihak stesen TV berhubung prinsipnya itu.

“Setakat ini, pihak stesen TV3 dan RTM faham dengan prinsip saya itu dan kami masih ada persefahaman.

“Jika pihak stesen mahukan seseorang pelakon itu, mereka perlu ada sebab yang kukuh dan bincang dengan produksi,”katanya.

Pada malam kemuncak DFKL 2018 drama Titian Cinta arahan Heykal juga mendominasi kemenangan apabila menggondol empat trofi menerusi kategori Pengarah Pilihan, Skrip Pilihan (Farhana Fauri) dan Lagu Tema Pilihan, Sumpah Cintaku (nyanyian Asfan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 4:21 PM