FAIZAL Tahir membuat persembahan di konsert Gegaria Fest Amanjaya, Sungai Petani. FOTO Zunnur Al Shafiq
FAIZAL Tahir membuat persembahan di konsert Gegaria Fest Amanjaya, Sungai Petani. FOTO Zunnur Al Shafiq
Najiy Jefri


KEMUNCAK konsert Gegaria Fest 2018 yang berlangsung di Dataran Amanjaya, Sungai Petani, malam tadi, gamat dengan kehadiran 50,000 penonton.

Menjadi lokasi ketujuh festival itu, kehangatan cukup terasa apabila penonton begitu ‘sporting’ dan tidak segan untuk turut menggoyangkan badan mengikut kumpulan penghibur di atas pentas walaupun hujan lebat ketika persembahan penyanyi Stacy.

Pada acara kemuncak anjuran Media Prima Berhad itu, penonton dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Hujan, Faizal Tahir, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Stacy dan Bunkface.

Paling menggamatkan, suasana tentu sekali Kugiran Masdo yang nyata sangat dinantikan peminat yang tidak henti menyanyi bersamanya.

Menurut vokalis Masdo, Ali Sariah , dia berterima kasih dengan sambutan luar biasa yang diterimanya di kesemua lokasi GegaRia Fest.

“Terima kasih GegaRia Fest kerana menganjurkan ‘kenduri’ yang begitu meriah ini.

“Penganjuran ini telah berjaya menyatukan kita semua. Saya harap konsert ini dapat diteruskan pada masa mendatang dan menjadi acara tahunan.

“Ada rezeki jemput kami lagi GegaRia Fest,”katanya yang menyanyikan lima lagu pada konsert terbabit.

Acara ini turut disiarkan secara langsung di NTV7.

Dihoskan Issey, Naz Rahman dan Deen Hot FM, GegaRia kali ini turut dimeriahkan artis popular lain termasuklah Awal Ashaari, Scha AlYahya, Reen Rahim, Eyka Farhana, Elfira Loy, Dhiya Aizat, Wani Kayrie dan Faiz Dickie yang membuat penampilan pada sebelah siang.

Selain konsert, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 11:15 PM