SYAMEL bersama peminat.
SYAMEL bersama peminat.
SALMA.
SALMA.
KUMPULAN Bunkface ketika membuat persembahan.
KUMPULAN Bunkface ketika membuat persembahan.
Syafil Syazwan Jefri


Menjadi acara pembuka lembaran untuk 2018, GegaRia Fest anjuran Media Prima Berhad yang berlangsung Sabtu lalu menempa kejayaan besar apabila tarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Bermula seawal jam 8 pagi, GegaRia Fest yang berlangsung di Pekarangan Tempat Letak Kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam menyajikan pelbagai aktiviti dan paling menarik adalah acara kemuncak iaitu Konsert Mini GegaRia Fest yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung membanjiri ruangan acara.

Konsert mini itu menyaksikan persembahan hebat daripada beberapa artis dan band popular iaitu DeFam, Noh Salleh, Kugiran Masdo, Akim & The Majistret dan Bunkface.

Bagi Noh yang kini membawakan muzik beraliran vintaj, dia nyata terkejut dan tidak menjangkakan sambutan sehebat itu.

“Bagi 2018, ini adalah acara persembahan pertama saya dan sambutan daripada penonton sangat menggalakkan. Pada awalnya, saya diminta mempersembahkan tiga lagu, tetapi selepas melihat semangat pengunjung yang membanjiri tapak acara, saya jadi teruja dan nyanyikan satu lagu tambahan,” katanya.

Lagu yang dipersembahkan Noh pada malam itu ialah Angin Kencang, Renjana, Kotak Hati dan Dugaannya. Ia turut dinyanyikan bersama pengunjung yang membanjiri ruangan tempat letak kereta itu.

Kumpulan kugiran Masdo yang juga band baru turut mempersembahkan tiga lagu ciptaan mereka iaitu Teruna dan Dara, Bunga dan Bercanda Di Malam Indah.

“Sebagai kumpulan baru, kami tak sangka ada peminat yang tahu dan turut menyanyi bersama kami,” kata vokalisnya, Ali Sariah mewakili Masdo.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Alfian Talib berkata, acara pertama itu mencapai objektif seperti yang diharapkan.

“Sebagai penganjur, kami menyasarkan remaja dan melihatkan jumlah pengunjung yang datang sejak mula pesta berlangsung, memang ramai orang muda. Secara keseluruhan, acara itu dihadiri lebih 50,000 pengunjung bermula jam 8 pagi hingga malam.

“Untuk konsert pula, rasanya ini adalah kali pertama konsert sebesar ini diadakan 13 hari selepas sambutan tahun baru dan boleh dikatakan menempa kejayaan besar dengan jumlah penonton yang sangat ramai,” katanya.

Alfian juga berharap kejayaan itu akan berterusan sehingga ke lokasi berikutnya.

Selain konsert yang bermula jam 9 malam itu, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan #GegaRia.

Pengunjung juga dihiburkan beberapa finalis Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) antaranya Haqiem Rusli, Syamel, Ernie Zakri dan Salma.

Aktiviti lain adalah acara perkongsian antaranya tutorial hijab dan solekan. Tidak hanya menyasarkan hiburan, GegaRia Fest menjadi ruang perkongsian mengenai dunia media sosial bersama beberapa selebriti antaranya Elfira Loy dan Faizdickie.

“Acara sebegini memang patut diadakan lebih kerap memandangkan ia menjadi ruang untuk perkongsian ilmu. Antara yang saya sempat kongsikan adalah penggunaan media sosial dengan betul dan tidak menyalahgunakannya untuk perkara negatif,” katanya.

Selain Setia Alam, GegaRia Fest juga akan bertandang ke dua lokasi lain iaitu Plaza Angsana, Johor Bahru pada 3 Februari dan Stadium Darul Makmur, Kuantan (24 Februari).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 2:07 PM