Najiy Jefri

Kemuncak konsert GegaRia Fest 2018 yang berlangsung di Dataran Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, kelmarin gamat dengan kehadiran 50,000 penonton.

Menjadi lokasi ketujuh festival itu, kehangatan cukup terasa apabila penonton begitu ‘sporting’ dan tidak segan untuk turut menggoyangkan badan mengikut kumpulan penghibur di atas pentas walaupun hujan lebat ketika persembahan Stacy.

Pada acara kemuncak anjuran Media Prima Berhad itu, penonton dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Hujan, Faizal Tahir, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Stacy dan Bunkface.

Akim & The Majistret membuka pentas dengan persembahan bertenaga mempertaruhkan empat lagu popular mereka, Obses, Lagu Untuk Laila, Stereotype dan Terlalu Mudah.

Momentum karnival berkenaan terus dihangatkan dengan persembahan memukau Stacy yang membawakan dua lagu popularnya, Cakap Ke Tangan dan Not For Sale.

PERSEMBAHAN bertenaga Akim & The Majistret .
PERSEMBAHAN bertenaga Akim & The Majistret .

Sinonim dengan Konsert GegaRia, Kugiran Masdo terus memperlihatkan keunggulan mereka di pentas. Tidak dinafikan, kumpulan empat anak muda itu menjadi nadi yang menggerakkan pentas utama apabila nama Masdo antara yang mendapat sorakan penonton.

Tetap bersemangat beraksi dalam hujan, mereka memilih lima lagu iaitu Teruna Dan Dara, Bunga, Bercanda di Malam Indah, Malam Pesta Muda Mudi dan Malam Pesta Rock and Roll yang membawa penonton kembali ke era kegemilangan muzik 60-an.

Adrenalina Faizal Tahir masih berbisa apabila mengumpan penonton dengan lagu Assalamualaikum, Maharkarya Cinta dan Malaysia.

Kemunculan julung kali di pentas Festival GegaRia itu mengubat rindu peminat yang terhibur dengan aksi Faizal yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti One In A Million.

FAIZAL
FAIZAL

Andai sebelum ini Noh Salleh tampil solo, penonton di Aman Jaya Mall bertuah apabila kemunculannya kali ini diiringi kumpulan Hujan.

Membawakan pilihan lagu Obsesi, Dugaannya dan Empayarmu, kemunculan kumpulan itu mengundang jeritan peminat yang merindui aksi hebat mereka.

Persembahan terakhir mereka meninggalkan kesan mendalam di hati penonton apabila Kugiran Masdo turut berada di atas pentas ketika Hujan membawakan lagu penutup, Aku Skandal.

HUJAN
HUJAN

Bunkface yang dianggotai Paan, Youk dan Sam terus memanaskan suasana dengan pilihan lagu rancak Malam Ini Kita Punya, Panik, Darah Muda, Situasi dan Revolusi.

Menurut vokalis Masdo, Ali Sariah , dia berterima kasih dengan sambutan luar biasa di semua lokasi GegaRia Fest.

“Terima kasih GegaRia Fest kerana menganjurkan ‘kenduri’ yang begitu meriah.

“Penganjuran acara ini berjaya menyatukan kita semua. Saya harap konsert ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi acara tahunan.

“Ada rezeki jemput kami lagi GegaRia Fest,” katanya.

Kata Ali, dia tidak menyangka apabila album yang dibawa di setiap lokasi jelajah terjual lebih 500 unit.

“Ternyata percaturan kami tidak menjual album di kedai muzik menjadi apabila setiap kali jelajah GegaRia kami menerima sambutan luar biasa peminat yang membeli album dan barangan eksklusif Masdo.

“Ini sekali gus membuktikan masih ramai di antara kita yang menyokong penjualan album cuma perlukan usaha dan semangat,” katanya.

SAM Bunkface.
SAM Bunkface.

Bagi Stacy, kemunculan buat julung kali di pentas GegaRia menjadi memori indah buat dirinya.

“Ketika teruja menyanyikan lagu pertama tiba-tiba hujan lebat namun pengunjung yang hadir tetap berada di kawasan berkenaan dan menyanyi bersama saya.

“Reaksi itu buat saya lebih bersemangat untuk menyanyi dan ‘mandi hujan’ bersama mereka,”katanya.

Acara ini turut disiarkan secara langsung di NTV7.

Dihoskan Issey, Naz Rahman dan Deen Hot FM, GegaRia kali ini turut dimeriahkan artis popular lain termasuk Awal Ashaari, Scha AlYahya, Reen Rahim, Eyka Farhana, Elfira Loy, Dhiya Aizat, Wani Kayrie dan Faiz Dickie yang membuat penampilan pada sebelah siang.

AWAL dan Scha.
AWAL dan Scha.

Selain konsert, acara GegaRia Fest turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

Festival GegaRia terlebih dahulu menemui pengunjung di enam lokasi bermula Shah Alam, Johor Bahru, Kuantan, Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban.

NABILA Razali beri tip mengenai fesyen.
NABILA Razali beri tip mengenai fesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:54 AM