KHIR bersama AJK PROFIMA pada sidang media Anugerah PROFIMA, baru-baru ini.
KHIR bersama AJK PROFIMA pada sidang media Anugerah PROFIMA, baru-baru ini.
Nor Akmar Samudin


Barangkali peminat filem dan drama Melayu hanya mengenali pelakon saja, namun mereka kurang mengambil tahu pekerja di belakang tabir dunia penerbitan yang bertungkus-lumus memastikan penggambaran berjalan lancar.

Lantaran itu mereka yang juga dikenali sebagai kru produksi sewajarnya mendapat pengiktirafan dan penghargaan di atas segala usaha serta pengorbanan sebagai suntikan agar terus memberikan yang terbaik dalam kerjaya.

Oleh itu pada 6 November ini akan diadakan Anugerah PROFIMA 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Penganjuran kali ke-11 itu bukan setakat majlis anugerah biasa malah Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Kapten (K) Khir Mohd Noor, meminta kru produksi menambah ilmu dan menjaga imej mereka.

“Walaupun kelibat mereka tidak kelihatan dalam drama atau filem, mereka mesti pandang serius aspek penampilan diri dan membentuk budaya kerja yang sihat bagi melahirkan penggiat seni progresif. Kepada yang mahu maju dalam kerjaya, mereka mesti belajar dengan menyertai bengkel perfileman dan sebagainya. Dalam perkara ini PROFIMA akan sentiasa memberikan sokongan dan kalau perlu persatuan boleh carikan dana.

“Takkan sampai bila-bila nak buat kerja yang sama. Mereka mesti ada pengetahuan mengenai kerja di belakang tabir. Orang mungkin melihat ia satu kerjaya yang senang tetapi hakikatnya tidak semudah seperti yang difikirkan. Menerusi kerjaya ini, mereka juga diberi sijil yang akan mengiktiraf kehadiran dan tahap keseriusan dalam menghasilkan karya bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Khir juga menegur sikap segelintir kru produksi yang tidak menjaga penampilan sepanjang bekerja di lokasi.

“Ada kru yang hanya berselipar datang ke tempat kerja sedangkan ia kesalahan bagi penggiat seni belakang tabir. Mereka juga tidak berpakaian kemas dan tak menjaga penampilan. Itu pentingnya latihan belakang tabir dan setakat hari ini FINAS (Perbadanan Filem Nasional) tidak pernah menolak untuk beri dana atas usaha kami,” katanya.

Khir ditemui pada majlis mesra media Anugerah PROFIMA yang diadakan baru-baru ini di Ampang.

Pada pertemuan itu juga Khir berkata, pekerja belakang tabir kurang dipandang orang berbanding mereka yang berada di hadapan lensa kamera.

“Jadi, siapa lagi yang akan mengangkat golongan ini kalau bukan persatuan seperti kami sedangkan mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Pada malam anugerah itu nanti, PROFIMA mempertandingkan 63 trofi, Anugerah Khas Juri (3 trofi), Anugerah Tokoh PROFIMA (1 trofi), Anugerah Tokoh PROFIMA -Filem (1 trofi) dan Anugerah Tokoh PROFIMA -Akademi Filem (1 trofi).

Kriteria Anugerah Tokoh PROFIMA adalah individu yang banyak menyumbangkan tenaga, keupayaan, pendapat bagi pembangunan dan perubahan dalam pelbagai bidang industri kreatif Malaysia.

Malam anugerah bertemakan ‘Black Tie’ atau kostum era 1960-an dan 1970-an itu, jemputan akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air dan pertunjukan aksi lasak dari Hong Kong.

Tagline anugerah kali ini, Kru Nadi Industri Kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 2:40 AM