EOON Shuhaini. FOTO Shiraz Ali
EOON Shuhaini. FOTO Shiraz Ali
Ridzuan Abdul Rahman

 

"DARI awal lagi saya sudah jangka kerajaan tidak akan membenarkan sebarang aktiviti penggambaran drama, filem dan iklan kerana situasi masih berbahaya. Saya sendiri kurang setuju sekiranya kebenaran diberikan," kata pengarah drama, Eoon Shuhaini berikutan kerajaaan belum memutuskan untuk memberi kebenaran kepada syarikat produksi meneruskan penggambaran yang tertangguh dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Eoon berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) boleh mengambil peranan membantu kru produksi yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan.

"Mereka perlu bantu golongan ini. Berbeza dengan artis kerana kebanyakannya ada pendapatan menerusi media sosial masing-masing. Mereka jual cekodok pun orang tetap nak beli. Penerbit pula tidaklah terlalu terkesan berbanding pekerja belakang tabir.

"Saya sendiri simpati dengan nasib kru. Kalau dibolehkan penggambaran, penerbit tak perlu turun ke set, manakala pelakon boleh tunggu dalam kereta. Yang lebih berisiko tentunya kru," katanya.

Terdahulu, kalangan penggiat seni berasakan seperti ada sinar apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mahu membawa cadangan prosedur operasi standard (SOP) dikemukakan persatuan filem tempatan dan Finas berkenaan aktiviti penggambaran sewaktu tempoh PKPB dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya hari ini menjelaskan kerajaan belum lagi memutuskan untuk memberikan kebenaran dan mungkin akan mempertimbangkannya semula selepas Aidilfitri.

Sementara itu, pengarah Shuhaimi Lua Abdullah berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan kerajaan.

"Apa yang dilakukan bertujuan untuk membendung Covid-19. Namun perlu juga difikirkan nasib pekerja dibelakang tabir. Sebaiknya kerajaan menyalurkan bantuan berbentuk kewangan menerusi Finas sebelum diagihkan kepada yang layak. Saya sendiri sering dihubungi kru belakang tabir yang nak pinjam wang tapi setakat manalah saya mampu bantu," katanya.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Kapten (K) Khir Mohd Noor berkata, keputusan ini perlu dipatuhi semua pihak.

"Ia membabitkan nyawa dan bukan soal wang. Kalau berlaku gelombang kedua ia membabitkan golongan usia 50-an ke atas dan kanak-kanak. Kita tak boleh paksa kerajaan, cuma kita minta pertimbangan kerajaan untuk bagi insentif kepada penggiat seni. Orang dah nak raya dan kita fikirkan keperluan dapur berbanding pakaian dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, pekerja belakang tabir hanya boleh bertahan selama seminggu tanpa kerja dan selepas itu akan berdepan kesukaran dalam kewangan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:58 PM