Khir Mohd Noor. FOTO NSTP
Khir Mohd Noor. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PRESIDEN Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Kapten (K) Khir Mohd Noor menyeru syarikat-syarikat produksi untuk patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini masuk fasa ketiga dan dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Khir ketika dihubungi berkata, situasi krisis yang berlaku sekarang menghentikan operasi banyak sektor dan bukan hanya menjejaskan sektor seni dan perfileman sahaja.

"Bagi saya, kita semua patut bersabar sekejap. Dalam krisis Covid-19 yang berlaku dan menyebabkan kerajaan mengumumkan PKP ini bukan menjejaskan sektor seni dan perfileman sahaja, tetapi juga sektor lain termasuklah perniagaan dan sebagainya.

"Bukan kita sahaja yang terkena. Jadi, saya menyeru supaya kita semua patuh kepada PKP yang dikeluarkan kerajaan kerana ini penting untuk mengelakkan sebarang risiko kepada mana-mana individu," katanya kepada Harian Metro.

Ujarnya, jika aktiviti penggambaran diteruskan juga dalam tempoh PKP ini, ia akan merisikokan banyak pihak kerana kerja-kerja lakonan tidak akan mampu mengikut syarat penjarakan sosial seperti yang sepatutnya.

"Kalau penggambaran dijalankan, produksi selalunya dalam kuantiti yang ramai. Di lokasi pula, bagaimana pelakon nak berdialog? Kalau babak yang memerlukan pelakon duduk dekat, bagaimana?

"Untuk kru belakang tabir pula, kalau beramai-ramai dimuatkan dalam van untuk ke set penggambaran, bagaimana nak lakukan penjarakan sosial?

"Saya sendiri maklumkan kepada kru-kru bahawa kita semua tak boleh hanya berfikir tentang diri kita sahaja, tetapi perlu pentingkan keselamatan keluarga. Kita tak nak bila balik ke rumah, turut bawa balik penyakit," katanya.

Sehubungan itu, Profima selaku persatuan turut bersedia menyalurkan sumbangan kepada pekerja-pekerja belakang tabir yang memerlukan.

"Kru-kru ini, kebanyakannya pekerja bebas. Kalau tak ada kerja, tak ada gaji. Disebabkan itu, Profima membantu memberikan sumbangan barangan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan.

"Setakat ini, kita dah agihkan 2,000 bekalan barangan keperluan dan bantuan ini akan disalurkan lagi sehingga PKP ini tamat. Inshaa-Allah, dalam masa terdekat sebelum Ramadan, kita akan agihkan lagi," katanya.

Khir juga menyeru penerbit-penerbit atau badan korporat yang ingin turut serta untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada kru-kru produksi memerlukan.

"Kepada rakan-rakan penerbit atau badan korporat yang ada rezeki lebih dan ingin membantu memberi sumbangan, anda boleh turut serta. Setakat ini, ada individu yang berikan barangan keperluan dan ada yang berikan wang untuk kami belikan barang.

"Inilah masanya untuk kita sama-sama saling membantu antara satu sama lain. Tanpa kru-kru dan pekerja belakang tabir, siapalah penerbit dan pelakon," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 9:37 PM