Presiden Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor.
Presiden Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor.
Syafil Syazwan Jefri


PERSATUAN Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) meminta wakil penerbit-penerbit karya filem dan drama tempatan untuk bertemu dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) atau Kementerian Kewangan bagi memohon sedikit suntikan dana buat pekerja belakang tabir yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya, Kapten Khir Mohd Noor berkata, mereka bukan mahukan layanan istimewa, tetapi ada dalam kalangan pekerja belakang tabir yang permohonan mereka untuk mendapat bantuan kerajaan tidak diluluskan dan pada masa sama, terpaksa menanggung beban untuk membayar pelbagai komitmen.

"Walaupun kerajaan membenarkan penggambaran dijalankan semula bermula Jun ini, banyak risiko dan pelbagai aspek perlu dititikberatkan. Untuk memulakan penggambaran, ia membabitkan banyak pihak. Bukan sahaja kru, tetapi pelakon, prop, lokasi, pemilik lokasi dan orang sekeliling juga.

"Sekiranya penggambaran berjalan dan tiba-tiba, ada seorang kru produksi yang disahkan positif Covid-19, penggambaran perlu dihentikan dan semua pihak yang terbabit akan terkena tempias," katanya.

Pastinya yang akan terkesan adalah pekerja-pekerja yang bakal kehilangan kerja.

"Pelakon, pengarah dan penerbit mungkin ada yang rasa selesa, namun bagi pekerja-pekerja yang gajinya berdasarkan hari bekerja, tentunya ia sangat memberi kesan. Kalau dalam seminggu tak ada kerja, mungkin wang simpanan masih boleh bertahan. Tapi, kalau lebih dari itu, tentunya cukup terkesan.

"Apa yang penting sekarang adalah sedikit bantuan wang kerana kalau barangan dapur, kami masih mampu untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Kalau bulan pertama, mungkin tuan rumah pun masih boleh berikan kelonggaran untuk bayaran sewa. Dah masuk bulan kedua dan seterusnya, ada pintu-pintu rumah yang sudah diketuk oleh tuan rumah dan meminta untuk lunaskan bayaran sewa," katanya.

Khir turut mengingatkan golongan anak seni yang bekerja dalam satu produksi untuk memulakan budaya kerja baru.

"Dulu, kita pernah bercakap, alangkah bagusnya sekiranya dapat bekerja selama 10 hingga 12 jam sahaja dalam sehari. Sekarang, ia adalah masa yang sesuai untuk kita mulakan semula budaya kerja baru dan menghormati masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:25 PM