Presiden Profima, Khalil Salleh (kanan).
Presiden Profima, Khalil Salleh (kanan).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) meminta semua syarikat produksi memberikan cuti khas terhadap kru belakang tabir mereka pada 1 Februari ini sempena Hari Kru Filem Malaysia. 

Presidennya, Khalil Salleh berkata, ia sejajar dengan penganjuran pertama kali program peringkat kebangsaan untuk seluruh kru produksi tanah air iaitu Hari Kru Filem Malaysia.

"Program ini bermatlamatkan pengukuhan ukhwah dalam kalangan semua kru produksi, selain memberitahu kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka adalah penyumbang besar kepada pembangunan filem dan kandungan kreatif negara. 

"Juga kru produksi perlu dihargai peranan dan tugasnya dalam sebuah hari sambutan khasnya. Dalam sambutan ini, semua kru yang hadir akan dimanfaatkan masa mereka dengan mendengar taklimat, informasi terkini, pelancaran Koperasi Profima Berhad, jamuan makan, persembahan ringan dan taklimat hasil rumusan dari Program G20 - Pelan Pembangunan Kru Filem Malaysia 2030, " katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, bagi menyokong usaha ini, dia menyeru syarikat produksi memohon cuti awal dan boleh merancang bagi menggantikan segala kerja-kerja penggambaran yang berlangsung pada tarikh sambutan ini.

"Program ini akan diadakan di Dataran Karyawan Finas Hulu Klang dan Profima menjangkakan lebih 1,000 kru akan hadir dalam program ini dan 10 agensi serta organisasi akan terbabit dalam pameran yang menjurus kepada kerjaya kru produksi Malaysia. 

   "Inilah masanya pihak penerbit dan pengarah filem serta rancangan televisyen memberikan penghargaan tertinggi kepada seluruh pekerja belakang tabir untuk bercuti dan menghadiri sambutan ini. 

  "Sokongan daripada seluruh kru perlu dizahirkan dalam perjumpaan mega ini kerana mereka mampu mengubah industri perfileman Malaysia ke arah lebih baik. 

"Profima juga memohon sokongan penuh dari pihak Kementerian Komunikasi & Digital agar dapat memberikan perhatian khas kepada komuniti majoriti yang bekerja dalam produksi filem (kru produksi dan pekerja belakang tabir) ini, bagi membina sebuah hubungan lebih baik di dalam merealisasikan perancangan yang sudah dibuat oleh Profima untuk pembangunan industri perfileman Malaysia," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 9:09 PM