ISTERI nafi mendiang kemurungan dan ketagih alkohol sebelum meninggal dunia.
ISTERI nafi mendiang kemurungan dan ketagih alkohol sebelum meninggal dunia.

Industri perfileman Bollywood dikejutkan dengan berita kematian pelakon Inder Kumar, 45, akibat serangan jantung di kediamannya di Four Bungalows di Andheri, Mumbai, Jumaat lalu.

Inder mungkin tidak sehebat pelakon handalan Bollywood yang lain, tetapi dia adalah pelakon pembantu yang tidak kurang pentingnya dalam industri perfileman di sana.

Antara pelakon yang rapat dengannya ialah Salman Khan dan Shah Rukh Khan.

Terkejut mendengar berita pemergiannnya itu, rakan artis turut menzahirkan kesedihan mereka dan menyampaikan salam takziah kepada keluarganya menerusi Twitter.

Antaranya Akshay Kumar, Kareena Kapoor, Anupam Kher, Abhishek Bachchan, Tusshar Kapoor Riteish Deshmukh, Jackie Shroff, Rannvijay, Renuka Shahane, Aftab Shivdasani, Nikitin, Ajaz Khan dan Arjun Rampal.

Kebanyakan mereka pernah berlakon dengan Inder dan menyifatkan mendiang seorang yang amat disenangi dan merendah diri.

Inder pernah berlakon dengan Salman Khan dalam filem Kahin Pyaar Na Ho Jaaye, Tumko Na Bhool Paayenge dan Wanted.

Pelakon itu meninggalkan seorang anak perempuan, Khushi menerusi perkahwinannya dengan bekas isteri pertama, Sonal. Manakala isteri keduanya, Pallavi.

Ada juga yang mengatakan sebelum meninggal dunia, Inder mengalami masalah kemurungan dan ketagihan alkohol.

Tampil menangkis dakwaan itu, Pallavi menegaskan suaminya tiada masalah lain.

“Apa orang kata itu tidak benar, dia memang meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 1:32 AM