ANTARA bahan bacaan yang disumbangkan kepada penghuni pusat kuarantin berkenaan.
ANTARA bahan bacaan yang disumbangkan kepada penghuni pusat kuarantin berkenaan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KIRIMAN mesej daripada kakak sepupu yang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) mendorong Zatika Izati Puade, 44, memulakan usaha mengumpul buku untuk disumbangkan.

Pengasas kumpulan di laman sosial Facebook, Gerakan Membaca Sambil Menunggu (GBSM) itu berkata, ia juga didorong video TikTok 'pertunjukan fesyen' membabitkan sekumpulan pemuda di pusat kuarantin itu yang tular.

"Selepas menerima mesej dan menonton video itu, terdetik di hati saya bagaimana individu yang dikuarantin (yang tiada gejala) meluangkan masa mereka.

"Lalu saya bertanyakan pendapat rakan di Facebook sama ada wajar kumpulan GBSM menyumbang bahan bacaan ke PKRC, Maeps dan majoritinya menyokong cadangan itu.

"Saya menghubungi pihak PKRC Maeps dan menyatakan hasrat untuk menyumbangkan bahan bacaan dan pada masa sama merancang menyumbang troli bagi memudahkan buku berkenaan 'bergerak' ke sekitar dewan yang luas kerana kurang efektif jika bahan bacaan itu hanya berada di rak," katanya.

PERPUSTAKAAN Mini Taman Bukit Permai turut menerima sumbangan daripada GBSM.
PERPUSTAKAAN Mini Taman Bukit Permai turut menerima sumbangan daripada GBSM.

Sebaik sahaja mendapat lampu hijau, Zatika mula membuka tabung untuk projek itu pada 21 Januari lalu dengan wang permulaan daripada poketnya sendiri.

Usaha murni itu mendapat sokongan ramai ahli GBSM dan kenalan media sosialnya selain mereka berjaya mengumpul hampir 700 buku.

"Pada masa sama, kami juga menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan ia digunakan bagi membeli troli serta membuat pelekat untuk dilekatkan pada buku dan troli.

"Alhamdulillah, pada 6 Februari lalu GBSM menghantar 500 buku pelbagai genre dan troli ke Maeps. Insya-Allah, jika ada permintaan lagi untuk pusat kuarantin lain, kami cuba usahakan.

"Kuala Lumpur sebagai bandar raya tuan rumah Ibu Kota Buku Dunia ke-20 (KLWBC 2020) juga masih berjalan sehingga 22 April ini, jadi ini antara inisiatif yang kami lakukan untuk meraikannya," katanya.

PENDUDUK mendapatkan bahan bacaan yang disumbangkan.
PENDUDUK mendapatkan bahan bacaan yang disumbangkan.

Bekas akauntan itu berkata, GBSM diwujudkan pada Mac 2010 dengan tujuan utama untuk memupuk minat dan tabiat membaca ketika menunggu, tidak kira walau di mana juga berada.

Ia sesuai dengan hobinya sendiri yang suka membaca selain suka mengajak orang lain turut sama membaca.

"Matlamat utama GBSM adalah untuk memperkasakan lagi budaya membaca seterusnya melahirkan insan yang cintakan ilmu.

"Sehingga awal Februari lalu, seramai 2,398 ahli menyertai gerakan ini dan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang," katanya.

Jelas Zatika lagi, dia mula membawa majalah ke Hospital Pusrawi ketika mengandung anak kedua pada 2007 untuk mengisi masa menunggu dan kemudian meletakkannya di rak (di ruang menunggu di klinik) bagi membolehkan pengunjung lain membaca sambil menunggu.

"Pada masa itu juga saya berkenalan dengan beberapa orang yang bergiat dalam aktiviti sukarelawan, antaranya Iskandar Syah Ismail (Dr Bubbles) yang pada ketika itu aktif dalam Islamic Relief Malaysia dan beliau turut menggalakkan saya mewujudkan kumpulan sendiri berkaitan buku serta pembacaan.

PENGGUNAAN troli untuk menempatkan bahan bacaan lebih praktikal bagi kawasan yang luas seperti dewan di Maeps
PENGGUNAAN troli untuk menempatkan bahan bacaan lebih praktikal bagi kawasan yang luas seperti dewan di Maeps

"Dari galakan itu GBSM diwujudkan," katanya. Menurut penterjemah bebas itu lagi, sebahagian besar bahan bacaan yang diterima adalah sumbangan daripada rakan-rakannya dalam bidang penulisan, penerbitan dan penterjemahan.

Kata Zatika, ada juga rakannya memberikan buku terpakai. tetapi masih baharu dan ada juga yang menyumbangkan wang untuk pembelian buku.

"Untuk mereka, saya akan kembalikan resit pembelian buku supaya boleh digunakan untuk membuat tuntutan rebat ketika membuat pengiraan cukai pendapatan," katanya.

Mengulas lanjut, Zatika berkata, kira-kira 6,000 bahan bacaan sudah disumbangkan GBSM ke pelbagai lokasi termasuk ke Maeps.

GENRE bahan bacaan yang sesuai dengan lokasi.
GENRE bahan bacaan yang sesuai dengan lokasi.

GBSM turut menyumbang kepada Perpustakaan Mini Dewan Orang Ramai, Taman Bukit Permai, Cheras serta projek sudut bacaan di ruang terapi dan rekreasi Anjung Singgah Kuala Lumpur (pusat gelandangan).

Kata Zatika, kumpulan itu juga pernah menyumbang buku, alat tulis dan beberapa barangan lain kepada Yayasan Chow Kit.

Menerusi projek Troli Ibadah dan Troli Solat pula, GBSM menyumbang kepada Institut Kanser Negara (IKN) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"GBSM turut memberi sumbangan buku dan majalah kepada Sekolah Integriti Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang.

"Selain itu, pada Ramadan 2016 pula, GBSM mengadakan program Ramadan Book Drive ke Hospital Serdang, Hospital Rehabilitasi Cheras, Sekolah Dalam Hospital di Hospital Ampang, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, serta Dusun Buku di Terengganu.

"Kiranya, mana-mana tempat yang memerlukan bahan bacaan, kami akan cuba sumbangkan dan bahan bacaan kami boleh dikenal pasti dengan stiker atau cap GBSM," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Zatika turut melahirkan harapan supaya masyarakat menjadikan membaca sebagai satu amalan dan kelaziman.

Katanya, membaca bukan untuk tujuan tertentu atau peperiksaan sahaja sebaliknya ia satu aktiviti yang menyeronokkan.

"Kami harapkan minat itu dapat dipupuk apabila mereka membaca buku yang disumbangkan GBSM.

"Malah kami juga berharap ilmu daripada pembacaan bahan bacaan berkenaan serta

penggunaan barang-barang yang diletakkan dalam troli itu akan membawa manfaat kepada penggunanya, sekali gus menjadi pahala yang mengalir kepada penyumbangnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:00 AM