Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) menghasilkan 50 buku braille khas dikenali 'cobrate' dalam usaha membantu memperbanyakkan bahan bacaan untuk golongan cacat penglihatan.

Cobrate adalah buku yang menggabungkan kolaj, braille dan teks tulisan yang bukan sahaja boleh digunakan bagi mereka yang buta, bahkan ahli keluarga yang tiada masalah penglihatan.

Pengarah PPAPP Sharimah Salleh berkata, projek cobrate sudah dilaksana sejak dua tahun lalu bagi menambah pilihan bahan bacaan yang lebih interaktif selain buku braille biasa.

Katanya, sehingga kini terdapat 3,460 buku braille di perpustakaan itu dan kini bertambah dengan adanya cobrate.

"Selain di Pulau Pinang, ada sebuah lagi perpustakaan di Sabah turut menghasilkan buku braille mereka sendiri.

Tan Lean Kee (belakang dua dari kanan) bersama Timbalan Pengerusi Lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang (PPAPP), Datuk Mustafa Kamal Ahmad (belakang kanan) dan Sharimah Salleh (belakang tengah) bergambar dengan peserta ketika Majlis Pelancaran Buku Cobrate dan Pertandingan Membaca Braille Sempena Sambutan Hari Braille Sedunia di PPAPP Seberang Jaya. FOTO DANIAL SAAD

"Cuma bezanya kita di sini, buku bacaan ini dihasilkan sendiri oleh orang yang cacat penglihatan dengan bantuan beberapa individu, manakala di sana (Sabah) ia dihasilkan oleh individu normal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Cobrate Braille dan Pertandingan Membaca Braille sempena sambutan Hari Braille Sedunia 2023 di PPAPP Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Lean Kee yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Lembaga PPAPP, Datuk Mustafa Kamal Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 5:32 PM