Murnaena Muhammad Nasir

“SAYA mula pandai membaca pada usia tiga tahun kerana ibu bapa kerap menghadiahkan buku sejak saya kecil lagi,” kata Jessenia Irisya Jefri, 12.

Murid Sekolah Kebangsaan Wangsa Melawati itu dinobatkan sebagai Tokoh Nilam 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kategori sekolah rendah pada majlis anugerah terbabit di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Jalan Pasar, semalam.

Jessenia berkata, dia meminati semua jenis bahan bacaan termasuk buku fiksyen dan komik.

“Pendedahan awal yang diberikan lama kelamaan meningkatkan kemahiran kosa kata saya.

“Sehingga kini, saya berjaya membaca 481 buku,” katanya.

Jessenia muncul johan dengan menewaskan 14 pesaing dari beberapa sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Shamshul Hariz Shamshul Bahril, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju dinobatkan juara kategori sekolah menengah selepas berjaya membaca 340 buku.

Menurutnya, minatnya membaca buku bermula sejak kecil lagi.

JOHAN Tokoh Nilam Kategori Sekolah Menengah, Shamshul Hariz (kiri) dari SMK Zon R1 Wangsa Maju dan Johan Tokoh Nilam Kategori Sekolah Rendah, Jessenia Irisya Jefri dari SK Wangsa Melawati selepas majlis penyampaian hadiah Tokoh Nilam di Sekolah Seni Malaysia. FOTO Mustaffa Kamal
JOHAN Tokoh Nilam Kategori Sekolah Menengah, Shamshul Hariz (kiri) dari SMK Zon R1 Wangsa Maju dan Johan Tokoh Nilam Kategori Sekolah Rendah, Jessenia Irisya Jefri dari SK Wangsa Melawati selepas majlis penyampaian hadiah Tokoh Nilam di Sekolah Seni Malaysia. FOTO Mustaffa Kamal

“Terima kasih kepada ibu bapa kerana memupuk amalan membaca kepada diri saya sejak kecil lagi.

“Semasa saya kecil, ibu bapa suka memberikan saya bahan bacaan seperti buku cerita, komik, majalah dan akhbar.

“Pendedahan amalan membaca sejak kecil ini sedikit sebanyak membantu saya mudah memahami proses pembelajaran,” katanya.

Anugerah Tokoh Nilam 2019 itu disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Maznah Abu Bakar.

Selain itu, anugerah Pusat Sumber Cemerlang 2019 turut disampaikan kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara yang memenangi kategori sekolah kebangsaan manakala kategori sekolah menengah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama.

Maznah berkata, JPWPKL sentiasa mempergiatkan usaha penekanan budaya membaca secara menyeluruh dalam menyahut seruan Dekad Membaca Kebangsaan 2030.

“Saya berharap melalui Majlis Pelancaran Slogan #KLmembacadiSEKOLAH, sekolah di wilayah Kuala Lumpur akan mengambil semangat untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan murid.

“Tiga program utama yang kami laksanakan ialah kepelbagaian program membaca di sekolah, di JPWPKL termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan aktiviti membaca bersama komuniti.

“Di dalam program membaca bersama komuniti ini, JPWPKL akan bekerjasama dengan Perpustakaan Kuala Lumpur, sektor swasta dan badan korporat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 9:42 PM