PEMANDU teksi sekitar Bandar Tun Razak, Cheras turut
PEMANDU teksi sekitar Bandar Tun Razak, Cheras turut
Nurul Husna Mahmud


Kesan pandemik menjejaskan kualiti kebanyakan masyarakat Malaysia apabila hilang pekerjaan dan pendapatan sehinggakan ada antaranya terputus bekalan harian.

Prihatin terhadap masyarakat memerlukan, inisiatif Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan biskut sebanyak 7,000 set diagihkan secara aktif awal Disember lalu.

Malah menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaafar, itu bukanlah sumbangan pertama malah inisiatif kali ketiga sejak pandemik itu melanda sejak Mac tahun lalu.

"Ketika gelombang pertama dan kedua, kira-kira 8,000 set Bakul Makanan diedarkan dan ini bagi meringankan masyarakat sekitar Bandar Tun Razak yang daif serta terputus bekalan makanan disebabkan Covid-19.

"Senarai penerima adalah terdiri daripada golongan B40, pemandu teksi dan penduduk yang tinggal di perumahan rakyat atau awam. Dalam inisiatif yang sama dan dipanjangkan ialah membekalkan sekampit beras bagi satu keluarga dari parlimen ini," katanya.

Menurut Kamarudin, bantuan sedemikian penting kepada penduduk setempat demi kelangsungan hidup terutama mereka yang berkeluarga dan mempunyai tanggungan ramai.

"Program ini mendapat sambutan cukup luar biasa kerana setiap hari ada sahaja yang mengunjungi pejabat parlimen bagi mendapatkan bekalan beras. Meskipun inisiatif akan dilaksanakan secara berterusan, pada masa akan datang namun segi kekerapan agihan dan jumlah sumbangan berbeza mengikut bajet atau kapasiti semasa," katanya

Tambah Kamarudin lagi, antara sumbangan lain turut diagihkan ialah program isian minyak petrol dan tukaran minyak enjin secara percuma.

GOLONGAN B40, Orang Kurang Upaya dan Ibu tunggal diutamakan dalam senarai penerima.
GOLONGAN B40, Orang Kurang Upaya dan Ibu tunggal diutamakan dalam senarai penerima.

Ia bertujuan mempelbagaikan bentuk sumbangan dalam mencapai lebih ramai golongan yang terkesan dalam pandemik termasuklah penunggang motosikal.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Zaini Zakaria berkata, ibu tunggal antara kumpulan paling terkesan kerana rata-rata mereka bergantung kepada pendapatan harian menerusi jualan dan berniaga kecil-kecilan.

BANTUAN diagihkan tanpa mengira bangsa dan agama.
BANTUAN diagihkan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Apabila ada pihak 'turun padang' membantu sama ada dalam bentuk sumbangan barangan atau wang ringgit kepada kami golongan ibu tunggal, bebanan dipikul kami selama ini secara sendirian terasa ringan kerana ada pihak yang prihatin.

"Biasalah untuk kami golongan ibu tunggal 'survival' dalam persekitaran bandar secara sendirian itu adalah sangat mencabar apatah lagi dalam tempoh pandemik kerana kebanyakan kami hilang pendapatan disebabkan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

ZAINI ( kanan) mengalu-alukan keprihatinan orang ramai terhadap ibu tunggal.
ZAINI ( kanan) mengalu-alukan keprihatinan orang ramai terhadap ibu tunggal.

"Kami berharap inisiatif Yang Berhormat (YB) bermula dengan Bakul Makanan dan kemudian projek sekampit beras buat setiap keluarga yang memerlukan dan seterusnya sumbangan minyak petrol percuma itu diharap dianjurkan lebih kerap bagi mengurangkan kos sara diri keluarga masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:35 AM