Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kedutaan Qatar menyumbangkan 200 bakul makanan bagi membantu meringankan bebanan penduduk terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Berang.

Bantuan bakul makanan mengandungi beras, minyak masak, bihun, biskut, tea dan sardin itu disalurkan terus oleh kedutaan Qatar kepada pejabat Parlimen Hulu Terengganu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, bantuan bakul makanan disumbangkan kedutaan Qatar itu akan diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang paling terkesan berikutan pelaksanaan PKPD termasuk di Mukim Kuala Berang.

Katanya, penduduk miskin dan ibu tunggal juga akan diberi keutamaan untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

"Keutamaan bantuan itu hanya diberikan kepada penduduk paling terkesan, terutama mereka yang dikenakan kurantin selain fakir miskin dan ibu tunggal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

KUALA TERENGGANU, 30 MEI 2021, Pegawai Perhubungan dan Pembangunan Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Zawawi (kiri) dan Mohd Pauzi (kanan) memeriksa bakul makanan disumbangkan Kedutaan Qatar. FOTO/BAHAROM BAKAR
KUALA TERENGGANU, 30 MEI 2021, Pegawai Perhubungan dan Pembangunan Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Zawawi (kiri) dan Mohd Pauzi (kanan) memeriksa bakul makanan disumbangkan Kedutaan Qatar. FOTO/BAHAROM BAKAR

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengesahkan bantuan itu diluluskan Duta Besar Qatar, Fahad Mohammed Kafoud.

"Beliau juga menasihatkan seluruh rakyat termasuk warga Hulu Terengganu akur dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan perebakan pandemik Covid-19," katanya.

Rosol berkata, penduduk paling terkesan, ibu tunggal dan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan diminta menghubungi pegawai khas Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Pauzi Yusoff melalui telefon 012-9605654.

"Operasi di pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu terpaksa ditangguhkan sebagai mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan terutama pejabat berada dalam kawasan PKPD," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 11:40 AM