Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Majoriti warga pendidik di negeri ini dijangka selesai menerima mengambil vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam tempoh sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, sebahagian guru di negeri Johor sudah menerima suntikan vaksin dos pertama setakat ini.

Menurutnya, suntikan dos pertama berkenaan dalam kalangan guru dimulakan pada minggu lalu.

"Secara keseluruhannya, seramai 49,000 guru berkhidmat di seluruh negeri ini dan rata-ratanya menyambut baik usaha dilakukan kerajaan itu.

"Dalam tempoh sebulan, kita berharap warga pendidik di seluruh negeri ini selesai mengambil vaksin sebagai langkah mengawal penularan Covid-19," katanya.

Mazlan berkata, selain guru, orang ramai juga perlu memiliki kesedaran bagi mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

MAZLAN Bujang (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Agihan Bubur Lambuk Dan Sumbangan Bakul Makanan Kepada Warga Asnaf dan Ibu Tunggal. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAZLAN Bujang (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Agihan Bubur Lambuk Dan Sumbangan Bakul Makanan Kepada Warga Asnaf dan Ibu Tunggal. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Menurutnya, keengganan mereka berbuat demikian memberi impak negatif termasuk terhadap ekonomi negara.

"Setakat ini difahamkan hanya 40 peratus penduduk sahaja mendaftar," katanya selepas menyempurnakan Program Agihan Bubur Lambuk dan Sumbangan Bakul Makanan Kepada Warga Asnaf dan Ibu Tunggal di Zon Setia Austin dan Mount Austin diadakan di Aeon Mall Bandar Dato' On di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Zon Setia Austin dan Mount Austin, Zeti Zanariah Masiran.

Sebanyak 700 bubur lambuk diagihkan pada program berkenaan selain sebanyak 40 bakul makanan berbentuk barangan dapur diagihkan kepada keluarga kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 7:06 PM