WAKIL program MySuperHeroes bersama pihak penaja (tengah) ketiga pengambilan barangan tajaan syarikat Alpro Foundation-Alpro Pharmacy.
WAKIL program MySuperHeroes bersama pihak penaja (tengah) ketiga pengambilan barangan tajaan syarikat Alpro Foundation-Alpro Pharmacy.
Najiy Jefri


SERAMAI 31 pelajar tahun akhir dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah kelolaan Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) berjaya mengumpul dana bagi membantu 77 ibu dan bapa tunggal yang tergolong dalam kategori B40 di sekitar Lembah Klang melalui program MySuperHeroes #singleparentsproject.

Program yang berjalan dalam tempoh sebulan itu berjaya direalisasikan melalui beberapa inisiatif seperti kempen mengumpul sumbangan, penajaan dan aktiviti jualan barangan terpakai bagi mengumpul dana.

Menariknya, program ini bukan sahaja menyasarkan kutipan derma sebagai inisiatif, malah objektifnya adalah untuk mewujudkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelompok ibu serta bapa tunggal.

Tidak hanya itu, MySuperHeroes juga antara platform untuk mengajak lebih ramai rakyat Malaysia lebih positif walaupun negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Pensyarah Penyelia bagi program MySuperHeroes, Shira Haniza Yaakop, projek ini berjaya memberi kesedaran dan menyantuni ramai ibu serta bapa tunggal yang memerlukan.

"Pengumpulan dana bagi membantu ibu dan bapa tunggal ini juga sudah melebihi dari sasaran awal sebanyak RM10,000.

"Sementara barangan elektrik seperti mesin basuh dan mesin pengisar, tablet, lampin pakai buang bagi golongan dewasa, perkakas dan keperluan lain juga sudah diagihkan kepada lapan penerima, manakala 69 orang menerima barangan keperluan asas," katanya.

SITI Hawa menerima sumbangan daripada Jazzmi.
SITI Hawa menerima sumbangan daripada Jazzmi.

Bagi bapa tunggal yang dikenali sebagai Shamsul yang mempunyai empat cahaya mata mengakui akademik adalah satu aspek penting dalam kehidupan biarpun berhadapan kepayahan.

"Program khidmat masyarakat ini juga mampu mengubah nasib mereka dengan adanya pemberian tablet percuma kepada anak-anak untuk meneruskan pembelajaran dalam talian," katanya.

Inisiatif ini juga memberi cahaya baharu buat mualaf dan ibu tunggal yang dikenali sebagai Siti Hawa. Mempunyai dua cahaya mata, dia kini hilang sumber pendapatannya sejak April lalu akibat pandemik Covid-19.

WAKIL program MySuperHeroes bersama barangan asas yang disusun sebelum pengagihan.
WAKIL program MySuperHeroes bersama barangan asas yang disusun sebelum pengagihan.

Ada ramai keluarga yang berpendapatan rendah terutama dalam kalangan ibu dan bapa tunggal berasa susah dalam menghadapi cabaran terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, MySuperHeroes #singleparentsproject adalah satu program khidmat masyarakat yang bertujuan mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kepayahan yang dihadapi ibu dan bapa tunggal di negara ini terutama mereka yang dalam kategori B40.

Ibu dan bapa tunggal memainkan kedua-dua peranan sebagai ibu, mahupun bapa dalam sesebuah keluarga.

Pengarah Projek MySuperHeroes, Jazzmi Shah berharap projek ini mampu memberi inspirasi kepada semua individu untuk sama-sama meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

SESI Facebook Live yang dijalankan pelajar tahun akhir program MySuperHeroes bersama Rita Rudaini.
SESI Facebook Live yang dijalankan pelajar tahun akhir program MySuperHeroes bersama Rita Rudaini.

"Situasi getir akibat penularan pandemik Covid-19 menjejaskan banyak aspek terutama apabila PKP dikuatkuasakan. Ramai yang terjejas teruk akibat penularan pandemik ini.

"Melihat keadaan ibu dan bapa tunggal yang hilang sumber pendapatan atau punca rezeki, saya bersama-sama ahli pasukan MySuperHeroes mahu meringankan beban insan yang memerlukan.

"Sebenarnya jika kita mengenali rapat individu yang hidup dalam kesusahan ini mereka adalah yang kuat berusaha untuk terus hidup dan membesarkan anak-anak. Apapun kerja mereka lakukan untuk terus bertahan. Saya amat kagum dengan perjuangan mereka, jika kita dalam stuasi mereka, belum tentu boleh melaluinya.

"Justeru, saya harap ketabahan mereka ini menjadi inspirasi kepada 31 pelajar UiTM yang mengambil bahagian supaya terus menabur bakti kepada masyarakat di bumi tercinta ini," katanya.

Selain pengumpulan dana, program MySuperHeroes turut mengangkat martabat ibu dan bapa tunggal menerusi aktiviti perkongsian dalam Facebook rasmi mysuperheroes_spp yang memaparkan kisah selebriti dan pelakon terkenal Rita Rudaini yang juga tetamu jemputan utama dalam aktiviti ini.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah dari Pengurusan & Pembangunan, Jabatan Kerajaan Tempatan (KPKT), Omran Omar turut hadir dalam sesi perkongsian bersama-sama Khairul Abdullah atau lebih dikenali dengan nama 'Super Daddy'

dan usahawan, Nurul Dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:45 AM