LALUAN mendaki mencabar fizikal dan mental peserta.
LALUAN mendaki mencabar fizikal dan mental peserta.
Muhamaad Razis Ismail


SERAMAI 50 ahli berbasikal menyertai kayuhan amal Trans Titiwangsa untuk menyerahkan derma sebanyak RM8,500 kepada Yayasan Anak Yatim Ummu Salamah Gerik, Perak, baru-baru ini.

Presiden kelab South Puchong Cycling Club (SPCC), Isma Rezuan Mohd Esa berkata, derma itu bertujuan membantu menyediakan keperluan dan kemudahan serba kekurangan di asrama anak-anak yatim berkenaan.

Katanya, semua ahli berbasikal SPCC bertolak dari Puchong, Selangor ke Gerik menggunakan bas sewa khas yang diubah suai untuk membawa 30 basikal.

"Pada mulanya kami membuat jualan amal pakaian untuk membantu asrama anak yatim ini. Bagaimanapun disebabkan kutipannya terhad, kami membuat kutipan di peringkat ahli, individu dan syarikat luar dengan kerjasama kedai basikal Orbit Cycle.

"Sempena penyerahan derma ini, seramai 28 ahli kelab SPCC mengambil kesempatan berkayuh merentasi Banjaran Titiwangsa sebanyak dua kali iaitu dari Gerik ke Tanah Merah, Kelantan sebelum kembali semula ke Gerik membabitkan perjalanan sejauh 350 kilometer ," katanya.

Kayuhan turut ditemani 22 ahli berbasikal dan kru bantuan kenderaan dari kelab berbasikal

SEBAHAGIAN peserta kayuhan Trans Titiwangsa.
SEBAHAGIAN peserta kayuhan Trans Titiwangsa.

Gerik Cycling Team (GCT).

Pengarah Projek Trans Titiwangsa, Nazarudin Wijee berkata, pihaknya bersyukur perjalanan mereka yang mengambil masa selama dua hari dipermudahkan.

"Alhamdulillah perjalanan berjalan lancar apabila semua peserta selamat ke destinasi yang dituju.

"Sebaik tiba di Gerik, kami sempat mandi-manda di sungai yang jernih dan sejuk untuk menghilangkan rasa penat," katanya.

Seorang peserta, Khairul Anuar Muhamad Noh berkata, berkayuh di Banjaran Titiwangsa mempunyai pelbagai cabaran tersendiri.

"Kami perlu berkayuh di banyak laluan berbukit, mengelak rekahan dan lubang di sepanjang jalan, cuaca panas melampau dan kenderaan yang laju dari dua arah. Saya sendiri terbabas ke dalam semak ketika mengelak lubang.

PESERTA teruja sertai kayuhan Trans Titiwangsa.
PESERTA teruja sertai kayuhan Trans Titiwangsa.

"Namun saya tidak nafikan keindahan Tasik Temenggor dan keindahan rimba Banjaran Titiwangsa yang sungguh menakjubkan," katanya.

Sementara itu Mudir Asrama Yayasan Anak Yatim Ummu Salamah, Muhafuddin Abd Razak berkata, derma itu dapat meringankan keperluan 72 anak-anak yatim.

"Asrama anak yatim ini memberi perlindungan dan pembelajaran kepada anak-anak yang hilang tempat bergantung.

"Pengurusan asrama bagaimanapun mempunyai kekangan peruntukan dalam membangunkan fasiliti belajar.

"Sumbangan melalui kayuhan amal ini amat dihargai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:50 AM