KAYUHAN Double Trouble edisi pertama 2018.
KAYUHAN Double Trouble edisi pertama 2018.
Aniza Zainudin


Mengharungi kayuhan sukar laluan berbukit di Sendayan dan LBJ menuju ke Lukut, Negeri Sembilan, diikuti merentasi pinggir pantai Morib, Selangor dengan tujahan bayu laut menjadi cabaran buat 100 peserta kayuhan South Puchong Cycling Club (SPCC) Double Trouble V3.

Edisi kayuhan pertama tahun baru sejauh 190 kilometer (km) membabitkan laluan dari Seri Kembangan ke Dengkil melalui Kota Warisan, Litar Sepang, Bandar Enstek, Felda LBJ, Sendayan, Lukut, Sepang, Bagan Lalang, Tanjung Sepat, Morib, Kampung Olak Lempit, Dengkil dan kembali ke Seri Kembangan.

Timbalan Kapten SPCC Adrian Leong Wai Woh berkata, kayuhan SPCC Double Trouble itu dimulakan sejak Januari 2017 buat pertama kalinya dan diikuti edisi kedua pada Mei tahun yang sama.

“Ini adalah latihan kayuhan basikal jarak jauh terakhir bagi menghadapi persiapan acara Pulau Indah 180 Malaysia 2018 yang diadakan pada 14 Januari lalu.

“Selain ahli SPCC, kayuhan SPCC Double Trouble V3 turut disertai ahli kelab Bukit Jelutong Cycling Club, Team NATO, Rahang Cycling Team dan Selangor Cycling Team.

“Kami menamakannya ‘Kayuhan Double Trouble’ kerana dua laluan mencabar digabungkan menjadi satu lalu, iaitu LBJ dan Sendayan menuju ke Lukut mempunyai permukaan muka bumi yang berbukit-bukau.

“Kedua, laluan di Pantai Morib, peserta perlu menghadapi rintangan angin laut yang kencang demi melengkapkan kayuhan mereka.

“Dua laluan ini memberi cabaran fizikal mahupun mental yang tinggi kepada peserta untuk menamatkan kayuhan.

“Biarpun demikian, ramai peserta tertarik untuk mencuba laluan mencabar ini bersama-sama ahli SPCC sebagai latihan persediaan bagi menghadapi mana-mana acara berbasikal,” katanya.

Menurut Adrian, SPCC adalah kelab berbasikal amatur ditubuhkan sejak empat tahun lalu bagi mengumpulkan peminat sukan berbasikal di Puchong dan kawasan sekitar.

Selain aktif menyertai pelbagai perlumbaan basikal seluruh negara, setiap minggu SPCC turut menganjurkan kayuhan acara Kriterium (Rabu malam) di Cyberjaya dan kayuhan jarak jauh melebihi 120km (Ahad).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 12:55 PM