PESERTA cilik tidak ketinggalan berkayuh
PESERTA cilik tidak ketinggalan berkayuh
Zaitie Satibi


SOKONGAN dan kemurahan hati masyarakat mampu membawa senyuman kepada wajah insan kurang bernasib baik sama ada berpendapatan rendah, warga emas, anak yatim, ibu tunggal mahupun mangsa bencana.

Terpanggil untuk membantu golongan itu di sekitar Gugusan Manjoi di Ipoh, Perak, Al-Fathonah Resources menganjurkan acara berbasikal Kayuhan Amal Al-Fathonah 2019 bertujuan mengisi tabung Pertubuhan Prihatin Rakyat DUN Manjoi, baru-baru ini.

Acara berbasikal dengan kerjasama Manjoi Cycling Team (MCT) dan Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Tambun itu disertai 200 peserta terutama peminat sukan berbasikal.

Biarpun pertama kali diadakan, ia mendapat sambutan peserta dari daerah lain iaitu Slim River, Teluk Intan, Sri Iskandar dan Taiping.

ACARA berbasikal Al-Fathonah Resources bantu kutip dana tabung badan kebajikan.
ACARA berbasikal Al-Fathonah Resources bantu kutip dana tabung badan kebajikan.

Kayuhan bermula dan berakhir di pejabat Al-Fathonah Resources di Kampung Sungai Tapah, manakala perasmian disempurnakan Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat DUN Manjoi, Ustaz Hafez Sabri, yang turut menyertai aktiviti berbasikal itu.

Program bermula jam 7 pagi itu menyaksikan peserta pelbagai usia berkayuh sejauh 25 kilometer (km) dari Kampung Manjoi melalui Taman Meru ke Jelapang dan memasuki Silibin sebelum kembali ke Kampung Manjoi.

Bagi peserta dari luar daerah, ia memberikan pengalaman baharu melihat sendiri perkampungan Melayu dalam bandar terbesar di Perak yang memiliki sejarah kewujudannya dan masih dipertahankan sehingga hari ini.

SEORANG peserta menerima hadiah cabutan bertuah.
SEORANG peserta menerima hadiah cabutan bertuah.

Pengarah Program, Muhammad Mahathir Abdullah berkata, mereka menjadikan acara berbasikal itu sebagai platform masyarakat menyumbang kepada badan kebajikan dan kemanusiaan.

Selain itu, acara berbasikal ini juga diadakan bagi menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan secara santai.

Ini berikutan basikal adalah antara aktiviti yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini dan boleh disertai seisi keluarga.

PROGRAM menderma sambil beriadah menerusi aktiviti kayuhan.
PROGRAM menderma sambil beriadah menerusi aktiviti kayuhan.

“Segala bantuan dan sumbangan masyarakat kepada golongan sangat memerlukan ini sebenarnya amat besar nilainya dalam usaha membantu mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Pengisian program ini bukan hanya memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang demi pembangunan ummah, tetapi juga sebagai ibrah atau pengajaran kepada mereka.

“Kita sebagai masyarakat prihatin perlu menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik kerana jika bukan kita, siapa lagi yang hendak diharapkan,” katanya.

Jelasnya, biarpun kerajaan menyediakan saluran bantuan kepada golongan terbabit, namun bantuan sementara dihulurkan badan kebajikan sama ada kewangan, makanan atau barangan keperluan harian lain mampu membuatkan mereka menarik nafas lega.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:05 AM