DR NAZRI mengajar murid asas anyaman mengkuang.
DR NAZRI mengajar murid asas anyaman mengkuang.
SUMBANGAN Buku Cerita Kanak-kanak kepada PPA Sabah.
SUMBANGAN Buku Cerita Kanak-kanak kepada PPA Sabah.
PERTANDINGAN tarian igal-igal.
PERTANDINGAN tarian igal-igal.
MURID bersama Dr Nazri.
MURID bersama Dr Nazri.
Fazurawati Che Lah


Sejajar hasrat kerajaan memberi pendidikan kepada semua, Universiti Malaya (UM) menerusi Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMCares) merealisasikan hasrat berkenaan dalam projek Kurikulum Berasaskan Kemahiran Komuniti Setempat bagi kanak-kanak bukan warganegara Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah, baru-baru ini.

Projek itu mendapat kerjasama pihak Majlis Keselamatan Negara Cawangan Sabah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Kent di Pusat Pembelajaran Alternatif Kampung Sri Telipok serta Pusat Pembelajaran Alternatif Kampung Numbak Kota Kinabalu.

Projek berkenaan membabitkan hampir 500 kanak-kanak di kedua-dua pusat pembelajaran alternatif itu.

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, pendidikan alternatif tidak hanya terhad kepada asas literasi dan numerasi semata-mata.

“Sebaliknya, kemahiran komuniti seperti anyaman mengkuang, bakul dan manik, tarian igal-igal serta kemahiran membuat perahu dapat dibangunkan sebagai satu bentuk kurikulum yang membantu meningkatkan kemahiran kerja tangan untuk menghasilkan pendapatan.

“Ia juga dapat melestarikan budaya warisan bangsa yang kian terhakis kesan revolusi digital,” katanya

Oleh itu, Dr Mohd Nazri membangunkan siri modul Kurikulum Berasaskan Kemahiran Komuniti Setempat dalam pengembangan bakat manusia menerusi pemupukan nilai budaya tradisi dan kemahiran komuniti setempat.

Katanya, modul itu direka bentuk berdasarkan tesis beliau bertajuk Model Homeschooling berasaskan nilai dan amalan masyarakat bagi kanak-kanak Orang Asli (2014).

Malah modul yang dibangunkan itu mengandungi tiga komponen utama iaitu Kemahiran Literasi, Kemahiran Lagu dan Tarian Tradisi serta Kemahiran Seni Anyaman Tradisi.

Dr Mohd Nazri berkata, Pembinaan Modul Kurikulum Berasaskan Kemahiran Komuniti Setempat dibangunkan sekumpulan pakar menggunakan teori Culturally Responsive iaitu pembelajaran melalui sumber persekitaran daripada apa dipelajari dan bagaimana menggunakan apa yang dipelajari.

“Ia juga menggunakan penekanan pendekatan Asas Kreatif-Tradisi Komuniti Setempat yang membabitkan kanak-kanak secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran untuk mempelajari kemahiran tradisi komuniti,” katanya.

Katanya, bagi komponen Asas Literasi, Sekolah Kebangsaan Selupoh, Tuaran dipilih sebagai sekolah projek pelaksanaan modul ini.

Sementara bagi komponen kedua dan ketiga, Pusat pembelajaran alternatif Kampung Telipok dan Pusat Pembelajaran Alternatif Kampung Numbak, Kota Kinabalu dijadikan sebagai projek rintis pembangunan modul ini.

“Bagi Kemahiran Asas Literasi, guru yang terbabit dengan pelaksanaan modul pembelajaran ini dilatih dengan dua teknik asas pengajaran literasi iaitu Kaedah Gabung Bunyi-Kata digabungjalinkan dengan pendekatan Asas Membaca Kanak-Kanak Orang Asli.

“Menerusi komponen ini, mereka (guru) didedahkan dengan pendekatan didik hibur berasaskan kemahiran komuniti setempat iaitu lagu dan tarian tradisi sebagai asas pembelajaran awal literasi.

“Kemahiran kedua membabitkan lagu dan tarian tradisi igal-igal serta kemahiran. Sementara itu, kemahiran ketiga pula membabitkan anyaman seni kraf tangan mengkuang yang memberi fokus kepada kemahiran komuniti setempat,” katanya.

Dr Mohd Nazri berkata, modul itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari teknik menganyam mengkuang selain asas tarian igal-igal.

Katanya, pelaksanaan modul ini antara lain untuk mengekalkan sumber tradisi masyarakat seperti adat resam, alam persekitaran, cara hidup, bahasa dan sumber lain sebagai bahan pembelajaran secara tidak formal.

Selain itu, kanak-kanak juga didedahkan dengan kemahiran keusahawanan apabila produk yang mereka hasilkan mendapat tempahan pelanggan dan menarik untuk dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:35 PM