AL-SULTAN Abdullah (dua dari kanan) dan Ahmad Zahid (kanan) melihat Modul Hafazan TADIKA Tahfiz Negeri Pahang yang dilaksanakan.
AL-SULTAN Abdullah (dua dari kanan) dan Ahmad Zahid (kanan) melihat Modul Hafazan TADIKA Tahfiz Negeri Pahang yang dilaksanakan.
Bersama Shuhaimi Muhamed

KEMAS melangkah ke hadapan menyedia satu wadah baharu demi pembangunan minda anak-anak luar bandar dengan memberi keseimbangan di antara pembangunan fizikal dengan pembangunan spiritual.

Merealisasikan hasrat ini, pada 7 November 2023 Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Yayasan Pahang.

Pertukaran memorandum ini menyaksikan terbentuknya kerjasama antara KEMAS dan Yayasan Pahang yang mempunyai intipati antaranya melibatkan penggunaan Modul Hafazan TADIKA Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), khidmat nasihat, perakuan Sijil Kompetensi kepada para pengajar, perakuan Sijil Tamat Modul kepada pelajar TABIKA KEMAS, penubuhan Jawatankuasa Pemantauan KEMAS-Yayasan Pahang dan penyediaan tenaga pengajar.

Kerjasama ini turut melibatkan Yayasan Pinta dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membantu dalam memberikan latihan kemahiran asas al-Quran seperti tajwid dan mahraj kepada Pendidik TABIKA KEMAS secara berkala di peringkat Parlimen atau Negeri seluruh Malaysia serta latihan pedagogi kepada para pendidik berkaitan penggunaan Modul Ulul Albab semasa proses pengajaran dan pembelajaran di TABIKA berdasarkan tiga komponen utama yang menjadi tunjang kepada Program Ulul Albab iaitu Quranik, eksiklopedia dan ijtihadik.

Selain itu, Program Training of Trainers (ToT) kepada Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS turut dirangka meliputi Kursus Modul Hafazan bersama Yayasan Pahang, Kursus Dalam Cuti bagi saringan dan kemahiran asas al-Quran bersama Yayasan Pinta dan Kursus Lanjutan Kemahiran al-Quran secara berterusan bersama Yayasan Pinta.

Melalui pelan tindakan mulai 2024 hingga 2026 bagi melaksanakan kursus ini, dijangka menjelang 2026, sebanyak 9,500 orang Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS akan diberikan pendedahan tentang Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang oleh Yayasan Pahang dan menerima kursus asas serta lanjutan kemahiran al-Quran oleh Yayasan Pinta.

Program itu juga menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.

Seramai 100,000 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bawah KEMAS disasarkan untuk dilahirkan sebagai Huffaz Cilik menjelang 2026 yang melibatkan 10,843 tabika KEMAS.

Program Pra-Tahfiz ini merupakan nilai tambah kepada pelaksanaan Modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang dilihat sebagai pembangunan minda baharu dalam membentuk modal insan yang bukan sahaja tinggi intelektual bahkan spiritual yang terdidik serta sahsiah yang terpuji.

Kurikulum yang sedia ada diperkukuhkan dengan memasukkan elemen hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam juzu' amma dan surah pilihan (Juzuk 30) dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur seawal usia kanak-kanak di Tabika.

Dalam pada itu juga, program ini adalah salah satu game changer dalam memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia yang akan memberi fokus kepada 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.

Pujian perlu diberikan kepada YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW atas inisiatif ini yang dilihat bertepatan pada waktunya.

Program ini dilihat selari dengan hala tuju Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang menawarkan pendidikan secara holistik melalui konsep S.T.R.E.A.M iaitu Science, Technology, Religion, Engineering, Arts dan Mathematics.

Meraih Anugerah Trusted Brand (Jenama Paling Dipercayai) bagi kategori Pusat Pembelajaran Pra Sekolah Pilihan Pengguna Malaysia sebanyak empat kali oleh Reader's Digest pada 2017, 2020, 2022 dan 2023, Tabika KEMAS telah berevolusi daripada pembelajaran sedia ada kepada smart learning. Oleh itu Program Pra-Tahfiz ini dilihat sebagai manifestasi dalam membawa satu paradigma baharu pembangunan minda anak-anak di luar bandar.

Jika kita teliti dalam konteks pembangunan manusia, agama memainkan peranan penting dalam membentuk struktur budaya, etika dan moral masyarakat. Program Pra-Tahfiz dilihat sebagai pengisian aktiviti keagamaan yang boleh membentuk personaliti dan keperibadian unggul dalam perkembangan kanak-kanak Islam. Ia juga selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang merupakan suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Untuk rekod, sehingga Oktober 2023, seramai 217,361 kanak-kanak mengikuti Tabika dan 197,613 daripadanya adalah beragama Islam. Ini bermakna lebih 90 peratus kanak-kanak Tabika KEMAS adalah beragama Islam. Oleh yang demikian, Program Pra-Tahfiz dilihat sebagai nilai tambah dalam perkembangan kognitif anak-anak Islam di Tabika.

Melalui pembelajaran pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia dengan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara fun learning yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah akan memupuk minat mereka terhadap al-Quran. Pengajian al-Quran juga boleh menggalakkan pembangunan moral dan etika dengan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak untuk memahami nilai dan prinsip etika. Ia boleh membantu anak-anak seawal usia mengembangkan rasa tanggungjawab, empati dan pembentukan peribadi unggul melalui penghafalan al-Quran.

Selain itu, pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia dapat memupuk minat mencintai al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian dalam kalangan kanak-kanak. Secara tidak langsung juga akan melahirkan huffaz yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu al-Quran dan pengajian Islam bagi memelihara kesucian dan kesahihan al-Quran.

Jika dahulu pengajian tahfiz dilihat sebagai satu alternatif yang bukan arus perdana. Namun, hari ini melalui pembangunan minda baharu yang diterajui oleh KKDW telah mengarus perdana tahfiz ini. Ia juga menjadi alat dan senjata bagi mengimbangi pembangunan dan keperluan semasa yang lebih mencabar dengan hambatan dunia VUCA, teknologi dan kemodenan.

Mengarus perdana program tahfiz ini terutamanya kepada anak-anak seawal usia dilihat sebagai langkah yang bijak dan tepat pada masanya dengan memberikan alternatif kepada ibu bapa untuk mencorak pendidikan anak-anak mereka dalam pendidikan al-Quran. Usaha ini dilihat sebagai kaedah pembangunan minda baharu luar bandar.

Oleh yang demikian, bagi memastikan program ini berjalan secara mapan, Belanjawan 2024 turut memperuntukkan 20 juta bagi pelaksanaan Program Pra Tahfiz KEMAS dalam komponen Perkembangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Kesimpulannya, jika di lihat dari sudut yang lebih luas, pembentukan umat penghafaz al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya. Modal Insan Islam yang sewajarnya kita lahirkan hendaklah juga berupaya menguasai pelbagai ilmu dengan baik, melalui integrasi modal insan yang memiliki kepelbagaian ilmu dan boleh pula menghafaz al-Quran.

Pra Tahfiz di Tabika KEMAS pastinya bakal melahirkan 'generasi cilik al-Quran' yang berupaya membela agama, berbakti kepada bangsa dan membawa rahmat kepada sekalian ummah. Kemuncaknya akan lahirlah tamadun Islam yang unggul.

Penulis Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 7:00 AM