MAJLIS pelancaran program ‘Goal’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Pudu.
MAJLIS pelancaran program ‘Goal’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Pudu.
Siti Nadirah Hafidzin


Standard Chartered Bank Malaysia melancarkan program ‘Goal’ yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Pudu.

Program dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita dan Masyarakat Dr Faridah Awang dan disaksikan bersama pasukan bola jaring negara.

Melalui gabungan latihan sukan dan kemahiran hidup, ‘Goal’ bertujuan memperkasa dan melengkapkan gadis remaja dengan keyakinan, pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk menjadi pemimpin ekonomi yang penting dalam keluarga, masyarakat dan komuniti.

Program ‘Goal’ dicipta untuk kanak-kanak perempuan berusia 13 hingga 17 tahun yang berasal dari komuniti kurang bernasib baik.

Seramai 2,500 pelajar perempuan dari 50 buah sekolah menengah di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dikenal pasti untuk menyertai program ini.

‘Goal’ dijalankan bersama rakan kerjasama Standard Chartered Bank, WOMEN:girls yang juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mengawasi pemantauan dan penilaian program berkenaan.

Kurikulum ini berdasarkan modul latihan, dengan pembelajaran berasaskan permainan melalui sukan bola jaring.

Modul ‘Goal’ merangkumi pendidikan kewangan, komunikasi, kebersihan dan kemahiran hidup yang secara kolektif berusaha memberi kuasa dan meningkatkan keyakinan gadis remaja.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Standard Chartered Bank Malaysia Mahendra Gursahani berkata, matlamat utama projek ‘Goal’ adalah untuk merapatkan jurang antara lelaki dan wanita dalam masyarakat:

“Kami menyedari kesaksamaan jantina adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi. Mendidik anak perempuan dan memberi mereka alat untuk membentuk masa depan sendiri mempunyai kesan luar biasa terhadap komuniti dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr Faridah berkata, gadis remaja kini menghadapi masalah sosial yang menghalang mereka daripada mencapai potensi diri.

“Walaupun kementerian sentiasa berusaha menangani isu sosial ini melalui program kami untuk pemberdayaan dan pembangunan wanita, kami sentiasa menggalakkan inisiatif daripada pihak badan korporat seperti program ini.

“Ia bakal menjadi antara program penting bagi visi kami untuk mencapai kesaksamaan jantina sebagai asas negara maju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 1:37 PM