Fazurawati Che Lah

Berbaki kira-kira tiga hari menjelang tarikh keramat 15 Mac pastinya waktu ini memberi debaran kepada 443,883 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Malah dua minggu sebelum keputusan SPM diumumkan, debaran itu sudah mulai memuncak. Ada yang tidak kisah dan ada pula yang cemas.

Melihat jarum jam yang berdetik, degupan jantung turut menjadi pantas dan kegelisahan melanda diri hingga sukar melelapkan mata. Setiap waktu, fikiran dan perasaan diganggu bisikan serta pelbagai tanda tanya.

Menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 3, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor Serina Jaafar, selagi keputusan SPM belum berada di tangan calon pada Khamis ini, kegelisahan itu tidak akan hilang.

Katanya, sebagai pusat pendidikan, sekolah sentiasa terbuka untuk berkongsi perasaan dan luahan debaran pelajar pada saat menunggu keputusan SPM itu.

SUKA duka ketika menerima keputusan SPM.
SUKA duka ketika menerima keputusan SPM.

Bagi menghilangkan debaran itu, pelajar boleh ke sekolah untuk berjumpa dengan guru kaunseling bagi mendapatkan khidmat bimbingan.

“Kami memahami apa yang pelajar rasai pada saat genting ini dan tentunya debaran semakin memuncak apabila tarikh keputusan semakin dekat.

“Pelajar boleh datang ke sekolah, berjumpa guru kaunseling untuk meluahkan rasa debaran dan gelisah itu. Dengan cara ini, rasa takut, berdebar dan gelisah itu akan berkurang,” katanya.

Serina berkata, pelajar juga perlu yakin dan menerima keputusan SPM nanti dengan hati lapang kerana mereka sudah melakukan yang terbaik.

PELAJAR boleh berjumpa guru untuk meluahkan rasa gelisah.
PELAJAR boleh berjumpa guru untuk meluahkan rasa gelisah.

“Pelajar perlu ingat SPM bukan penamat kepada kegagalan dalam hidup. Teruskan kehidupan kerana SPM satu titik perubahan ke arah hidup yang lebih positif, pemikiran matang dan personaliti unggul selepas itu.

“Jika gagal ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), jangan putus asa kerana pendidikan di negara kita sentiasa diutamakan. Banyak platform pengajian termasuk IPT swasta, institut kemahiran, kolej komuniti, GiatMara dan politeknik,” katanya.

Katanya, pelajar juga boleh merujuk pihak sekolah untuk pemilihan bidang pengajian IPT yang bersesuaian dengan keputusan diperoleh.

DEBARAN menunggu keputusan SPM membuat pelajar gelisah.
DEBARAN menunggu keputusan SPM membuat pelajar gelisah.

“Ketika hari keputusan SPM diumumkan, selalunya pihak sekolah akan menyediakan kaunter IPT awam dan swasta.

“Oleh itu, pelajar perlu memanfaatkan dan meluangkan masa untuk merujuk terus ke kaunter IPT itu bagi mengetahui lanjut kursus yang bersesuaian dengan keputusan diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Kelantan Che Husin Che Soh, berkata, pelajar yang kurang bernasib baik atau gagal dalam keputusan SPM jangan cepat mengalah kerana peluang masih terbuka jika mereka bangkit dan terus berusaha.

SOKONGAN ibu bapa perlu ketika saat menunggu keputusan SPM.
SOKONGAN ibu bapa perlu ketika saat menunggu keputusan SPM.

Katanya, pelajar jangan jadikan kegagalan SPM itu titik penamat kepada perjuangan dalam pendidikan.

“Mereka masih berpeluang membaiki keputusan dengan mengulangi peperiksaan SPM. Ramai pelajar yang mengulang atau calon persendirian berjaya dengan cemerlang.

“Peluang memperbaiki sijil SPM masih terbuka dengan usia yang masih muda,” katanya.

Peranan guru juga penting khususnya guru kaunseling dalam membantu ketenteraman emosi pelajar.

“Meraikan pelajar sebagai tanda penghargaan dan memberi kata-kata semangat akan terus mendorong mereka untuk terus gigih berusaha,” katanya.

SPM bukan titik penamat dalam bidang pendidikan.
SPM bukan titik penamat dalam bidang pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 1:32 PM