REAKSI gembira selepas menerima keputusan peperiksaan.
REAKSI gembira selepas menerima keputusan peperiksaan.
Fazurawati Che Lah


Aliran sains atau sastera? Mungkin juga sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah teknik atau kolej vokasional?

Mungkin ini yang menjadi dilema bagi lebih 400,000 pelajar lepasan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) peringkat menengah rendah termasuk peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebaik saja keputusannya diumumkan pada Khamis lalu.

Malah persoalan ini juga mungkin berlegar di minda ibu dan ayah pelajar.

Berbaki hari yang tinggal tidak sebanyak mana, semestinya keputusan perlu dibuat segera menjelang tahun baru sebelum pelajar berkenaan beralih ke sekolah menengah tinggi.

Walaupun PT3 dianggap tidak sepenting Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), fungsinya dalam menentukan hala tuju pelajar masih diperlukan.

Peperiksaan itu dianggap penting dalam merencanakan masa depan pelajar supaya tidak tersalah merancang terutama dalam pemilihan aliran yang ingin diikuti sama ada masih mahu meneruskan aliran perdana atau sebaliknya.

PEPERIKSAAN PT3 juga penting dalam menentukan  aliran pengajian.
PEPERIKSAAN PT3 juga penting dalam menentukan aliran pengajian.

Pelajar juga perlu membuat pilihan bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing supaya tidak timbul isu menyesal atau berdepan konflik lain pada masa akan datang.

Bagaimanapun, penulis antara tidak terkecuali memerhatikan situasi yang menarik ketika keputusan PT3 diumumkan, baru-baru ini.

Kebanyakan pelajar hari ini sudah yakin dengan aliran mana yang bakal dipilih.

Berbanding zaman penulis iaitu sekitar 2001, kebanyakan daripada kami masih kabur berkenaan hala tuju selepas tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Lazimnya pada masa itu, mereka yang mendapat keputusan cemerlang dengan deretan A pada slip PMR, bererti ke aliran sains atau dihantar ke sekolah berasrama penuh.

Manakala yang kurang cemerlang pula ditempatkan di kelas sastera, ekonomi asas, akaun ataupun ke sekolah vokasional.

Masalah tidak dapat mengenal kekuatan diri ada kalanya berterusan hingga tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah ada juga mula menyedari kursus yang diikuti di universiti bukanlah yang mereka minat hanya selepas beberapa bulan menjejak kaki ke menara gading.

ULANG kaji pelajaran secara kumpulan membantu lebih memahami.
ULANG kaji pelajaran secara kumpulan membantu lebih memahami.

Bukankah ini membuang masa?

Namun, situasi ini tidak berlaku kepada pelajar lepasan PBS menengah rendah sekarang.

Biarpun baru berumur 15 tahun, kebanyakannya sudah dapat menilai kekuatan mereka di bidang mana. Malah, ada yang mendapat keputusan cemerlang PT3 tetapi tidak mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Mengulas isu itu, Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, isunya bukan sangat kepada berapa pilihan pengajian kita ada tetapi lebih kepada kesesuaian menguruskan murid berdasarkan minat, keputusan diperoleh dan menyediakan guna tenaga kelak.

Beberapa perkara boleh diguna pakai dalam isu ini dan antaranya ialah tumpuan kepada minat, kebolehan dan pencapaian murid termasuk syarat atau tahap minimum keperluan aliran, cita-cita murid serta keperluan dan dasar negara.

Beliau menggariskan beberapa pilihan pengajian kepada lepasan PT3 iaitu mengikuti aliran sains atau sastera di sekolah perdana, mengikuti kemahiran di Kolej Vokasional (KV), pengajian di Sekolah Menengah Teknik (SMT) mahupun ke institusi latihan seperti Kolej Komuniti atau GiatMara.

Katanya, pelajar yang mahu mengikuti aliran sains tulen perlu memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

IBU bapa antara yang gembira meraikan kejayaan anak.
IBU bapa antara yang gembira meraikan kejayaan anak.

Apabila murid dapat melihat bagaimana mereka melakukan sesuatu di dalam kelas, mereka juga dapat menentukan sama ada memahami sesuatu subjek atau sebaliknya.

“PT3 perlu dilihat lebih sebagai penilaian formatif daripada penilaian sumatif semata-mata iaitu penilaian untuk menilai pembelajaran murid pada akhir unit pengajaran dengan membandingkannya dengan beberapa atau sesuatu standard (penanda aras).

“Penilaian formatif sering mempunyai kepentingan dan nilai yang tinggi.

“Oleh itu, jika PT3 digunakan lebih sebagai penilaian formatif iaitu penilaian dalam bentuk proses pembelajaran apabila kita berusaha untuk menentukan bagaimana murid sedang melalui matlamat pembelajaran tertentu maka ia akan boleh digunakan bagi tujuan menentukan hala tuju aliran seseorang murid,” katanya.

Katanya, setiap tahun bermula daripada tingkatan satu, PT3 ini digunakan bagi memantau proses pembelajaran murid.

“Daripada sini kita boleh buat keputusan sama ada murid berkenaan diberi ruang dalam aliran sains atau sastera.

“Memandangkan dasar negara kita ingin menjadi negara maju maka kita tidak boleh lari daripada sekurang-kurangnya 60 peratus murid dan graduan kita mengikuti aliran sains.

“Maka penentuan aliran di peringkat PT3 atau di Barat dipanggil peringkat ‘middle school’ ini sangat kritikal,” katanya.

Jelasnya, paling utama ialah pembelajaran itu sepatutnya menyeronokkan bukan satu beban dan murid turut mencari keseronokan tersendiri dalam pembelajaran.

PELAJAR cemerlang PT3.
PELAJAR cemerlang PT3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 2:33 PM