SILANG budaya antara negara membantu mahasiswa memahami budaya luar.
SILANG budaya antara negara membantu mahasiswa memahami budaya luar.
Fazurawati Che Lah

Program silang budaya melalui aktiviti mobiliti di universiti kini menjadi trend kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta.

Banyak impak yang diperoleh siswa menerusi program berkenaan kerana penganjurannya dibuat untuk mencedok budaya positif masyarakat lain untuk dipraktikkan.

Dari situ, potensi, bakat dan kemajuan akademik perlu seiring bagi membantu mahasiswa menerokai pelbagai cabang ilmu selain mendedahkan mereka kepada dunia baharu dalam arus globalisasi.

Selain objektif utama memperkenalkan budaya positif, program ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah (soft skil) mahasiswa.

Kemahiran itu dapat ditingkatkan dalam menguruskan kepemimpinan, kerja dalam satu pasukan, sukarelawan, mengurus diri, komunikasi terutama kebolehan bertutur dalam bahasa selain bahasa ibunda dan meningkatkan kebolehan diri dengan melakukan kerja amal.

SILANG BUDAYA membentuk kerjasama semua peringkat umur.
SILANG BUDAYA membentuk kerjasama semua peringkat umur.

Dengan itu juga siswa diharapkan mudah untuk mendapat pekerjaan terutama peluang pekerjaan di luar negara apabila mereka tamat pengajian kelak kerana pengalaman yang diperoleh melalui program seperti itu.

Mengulas lanjut, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff, berkata program silang budaya sangat penting bagi penuntut untuk saling memahami budaya dari negara luar dan Malaysia.

Katanya program seperti ini perlu diperbanyakkan supaya cara pemikiran pelajar lebih terbuka, lebih berani berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan meningkatkan kemahiran kemanusiaan yang lebih positif.

PELAJAR antarabangsa mencuba aktiviti menoreh yang menjadi sebahagian sumber pendapatan masyarakat Malaysia.
PELAJAR antarabangsa mencuba aktiviti menoreh yang menjadi sebahagian sumber pendapatan masyarakat Malaysia.

“Sikap dan bakat ini penting kepada siswa terutama untuk kebolehpasaran mereka bila memasuki bidang pekerjaan nanti,” katanya.

Katanya dalam konteks Malaysia yang berbilang etnik dan budaya, program silang budaya akan mengukuhkan lagi hubungan antara kaum.

“Ini kerana apabila kaum yang berlainan memahami budaya yang berbeza.

“Penguasaan bahasa daripada kaum yang berlainan melalui program silang budaya juga boleh mengurangkan masalah komunikasi dan seterusnya mengukuhkan masyarakat Malaysia lebih harmoni,” katanya.

SILANG budaya turut membabitkan masakan tradisional.
SILANG budaya turut membabitkan masakan tradisional.

Dalam konteks silang budaya dengan pelajar antarabangsa pula katanya, mahasiswa akan lebih memahami bahasa, cara hidup dan kebudayaan antarabangsa.

Katanya, dengan memahami cara hidup dan budaya ini, mahasiswa akan lebih memahami tingkah laku serta cara bertindak siswa antarabangsa.

“Perbezaan sikap dan budaya akan menyebabkan berlaku banyak salah faham yang akhirnya boleh meruntuhkan ‘ekosistem’ baik yang ada di IPT,” katanya.

Mohd Rahimi berkata, penuntut yang biasa bergaul dan memahami budaya hasil daripada silang budaya akan mendekati lebih banyak perkara baru.

MAKAN bersila budaya masyarakat Melayu.
MAKAN bersila budaya masyarakat Melayu.

Katanya, situasi itu juga antara peluang untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat multinasional lebih-lebih lagi apabila penuntut berkenaan boleh menguasai bahasa di negara yang mereka bekerja.

Katanya kebolehpasaran mahasiswa universiti yang berpeluang bekerja di luar negara akan meningkat hasil dari silang budaya.

“Ini kerana penuntut yang dihasilkan lebih berdaya saing, berfikiran terbuka dan biasa dengan tingkah laku budaya luar,” katanya.

Jelasnya, kepelbagaian siswa dari berbagai negara akan meningkatkan lagi silang budaya yang positif yang akan melahirkan graduan bertaraf antarabangsa.

PERMAINAN tradisional antara budaya yang perlu diangkat.
PERMAINAN tradisional antara budaya yang perlu diangkat.

“Ini menyebabkan IPT lebih terkenal dan menjadi pilihan kepada mereka dari berbagai negara untuk memilih pengajian di universiti itu.

“Sekali gus akan meningkatkan pendapatan universiti hasil dari kehadiran penuntut antarabangsa. Alumni penuntut antarabangsa juga memberikan impak jangka panjang yang positif kepada perkembangan IPT,” katanya.

Sementara itu, ada segelintir pihak mendakwa program silang budaya yang dijalankan institusi pengajian syok sendiri dinafikan Mohd Rahimi kerana aktiviti itu sebenarnya memberi impak besar kepada masyarakat umumnya kaum belia.

Silang budaya merangkumi aktiviti persembahan kebudayaan, kerja sukarela, lawatan ke industri, bahasa, makanan, homestay dan majlis perkahwinan.

AKTIVITI mencari ikan yang sekarang makin dilupakan.
AKTIVITI mencari ikan yang sekarang makin dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:22 PM