TAMAN Pertanian Johor, destinasi agro pelancongan yang sesuai untuk kunjungan semua peringkat umur.
TAMAN Pertanian Johor, destinasi agro pelancongan yang sesuai untuk kunjungan semua peringkat umur.
Suliati Asri


Meneroka keindahan alam semula jadi bersama anak sambil mengenali keunikan pelbagai tanaman pertanian serta buah-buahan tropika mungkin idea terbaik buat anda yang sedang mencari lokasi menarik untuk dikunjungi sempena cuti ini.

Tidak hanya meneroka, merasai sendiri keenakan buah-buahan segar dan melakukan pelbagai aktiviti riadah yang menarik untuk seisi keluarga menjadikan percutian anda sesuatu yang cukup berkualiti.

Terletak di Mukim Sungai Tiram, Masai iaitu sekitar 45 kilometer dari Johor Bahru, Taman Pertanian Johor salah satu tarikan agro pelancongan yang cukup mengujakan di selatan tanah air ini.

Taman ini beroperasi sebagai taman pertanian yang mengandungi koleksi pokok durian terbaik dan bermutu tinggi di negeri selatan tanah air.

PENGUNJUNG terutama kanak-kanak berpeluang belajar pelbagai ilmu pertanian.
PENGUNJUNG terutama kanak-kanak berpeluang belajar pelbagai ilmu pertanian.

Taman ini juga berfungsi sebagai muzium buah-buahan termasuk buah-buahan nadir yang hampir pupus sebagai khazanah warisan negeri.

Objektif pembukaan taman ini juga adalah bagi mewujudkan satu persekitaran semula jadi yang menarik dan melambangkan ‘enviroment caring society’ di samping menggalakkan pelancongan dalam pertanian.

Berkunjung ke Taman Pertanian Johor ini, banyak tarikan menarik yang menanti untuk diteroka pengunjung. Dusun Buah-Buahan, Dusun Kelapa Takunan, Taman Herba, Taman Kelulut dan Nursery, Rumah Orkid dan Galeri Tani antara yang menarik di sini.

Tidak hanya melihat, pengunjung juga ditawarkan dengan pelbagai aktiviti menarik di setiap tempat yang dikunjungi.

TAMAN herba memperlihatkan pelbagai jenis herba yang punya khasiat tersendiri.
TAMAN herba memperlihatkan pelbagai jenis herba yang punya khasiat tersendiri.

Di sini, anda berpeluang memetik dan merasai keenakan buah-buahan yang ditanam di Dusun Buah-Buahan apabila musim buah.

Buah-buahan nadir seperti Mentiga, Gelugor dan Durian Belanda juga antara yang harus dirasa kerana ia mempunyai rasa yang unik.

Merasai sendiri keenakan Madu Kelulut yang terkenal dengan khasiatnya yang banyak menjadikan aktiviti menghisap madu kelulut dari sarangnya cukup bermanfaat buat pengunjung.

Memancing juga antara aktiviti yang menanti pengunjung terutama si kaki pancing.

Menariknya, di sini pengunjung berpeluang memancing pelbagai jenis ikan seperti Tilapia, Toman, lampam, Baung, Keli dan banyak lagi menggunakan umpan tiruan.

BERBASIKAL antara aktiviti yang menarik untuk merasai kedamaian yang ditawarkan di Taman Pertanian Johor.
BERBASIKAL antara aktiviti yang menarik untuk merasai kedamaian yang ditawarkan di Taman Pertanian Johor.

Bagi yang ingin mengayuh basikal, Taman Pertanian Johor memberikan kebenaran buat pengunjung berbasikal di kawasan taman ini sambil menikmati suasana damai yang ditawarkan di sini.

Taman Pertanian Johor turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung termasuk taman rekreasi, bilik seminar, tempat letak kereta, surau dan tandas awam.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam sambil menikmati suasana dusun buah tapak perkhemahan disediakan dengan kemudahan tandas dan bilik air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 11:14 AM