SUASANA tenang di tasik yang mendamaikan.
SUASANA tenang di tasik yang mendamaikan.
Suliati Asri


Menghirup udara segar pada waktu pagi dengan pemandangan lembah buah-buahan yang menghijau sememangnya cukup mempesona.

Kicauan burung yang merdu ditambah angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membawa haruman buah-buahan menambahkan keterujaan.

Peluang menikmati kesegaran air kelapa pandan di rumah tradisional dengan pemandangan menghijau dan langit yang cerah memberikan kepuasan tersendiri.

Itulah yang pasti dirasai saat berkunjung ke Selangor Fruit Valley di Jalan Batang Berjuntai - Rawang, Bestari Jaya, Selangor.

Selangor Fruit Valley (SFV) atau dulunya dikenali sebagai Selangor Tropical Fruits Garden adalah ladang buah-buahan tropika disulami tanaman sayuran dan pokok herba yang mempunyai keunikan tersendiri.

BEREHAT di beranda rumah kayu sambil menikmati keenakan air kelapa pandan menyegarkan.
BEREHAT di beranda rumah kayu sambil menikmati keenakan air kelapa pandan menyegarkan.

Berkeluasan 946 hektar, SFV diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi PKPS.

Antara pokok buah-buahan yang ada termasuk belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan, betik, nangka, mangga, durian dan pisang,

Lembah buah-buahan ini juga bukan saja menghimpunkan pelbagai jenis buah untuk dikenali dan dirasai, tetapi pelbagai aktiviti sampingan turut diselitkan membuatkan penerokaan di sini penuh kenangan terindah.

Pengarah Agro Pelancongan Selangor Fruit Valley Md Saad Mahsah berkata SFV adalah destinasi menarik untuk dikunjungi seisi keluarga kerana ia menawarkan pengalaman dan aktiviti menarik.

MD Saad memegang arnab yang comel di Taman Arnab.
MD Saad memegang arnab yang comel di Taman Arnab.

“Selain tanaman buah-buahan, ia juga menawarkan pemandangan ladang yang cantik, udara yang segar dan pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan.

“Bermain dengan arnab dan landak di Taman Arnab, melihat rusa menaiki tram juga sesuatu yang punya keterujaan tersendiri.

“Gabungan agrotourism, ekotourism dan edutourism juga menjadikan SFV percutian lengkap yang sesuai untuk seisi keluarga sekali gus menjadikannya ia destinasi amat unik,” katanya.

Ketika mengunjungi SFV baru-baru ini, penulis dapat berasakan sendiri keunikan dan kelainan ditawarkan di sini berbanding tempat lain yang pernah dikunjungi.

KEBUN sayur yang menghijau dan segar.
KEBUN sayur yang menghijau dan segar.

Memulakan penerokaan, penulis dibawa melihat sendiri tanaman herba yang mempunya khasiat tersendiri. Menariknya, di taman ini juga ditanam pokok mentega, herba yang tidak semua taman herba ada.

Herba dan rempah ratus di sini ditanam di dalam landskap yang indah dengan gabungan pelbagai spesies herba dan rempah ratus.

Kemudian, penulis dibawa menaiki tram untuk meneroka sekitar ladang yang menawarkan pelbagai keunikan.

Dengan penerangan daripada Saad sepanjang perjalanan, pengunjung boleh mengetahui tanaman apakah yang ada di kiri dan kanan.

BUAH mulberi antara yang ditanam di taman herba.
BUAH mulberi antara yang ditanam di taman herba.

Saat melalui kawasan tanaman nangka madu dan nangchem, teruja rasanya melihat buah itu yang sedang menunggu masa untuk masak bersaiz besar. Dua dan tiga kali ganda yang pernah dilihat di pasar sebelum ini.

Menjadi perhentian pertama, taman rusa mencuri perhatian. Taman rusa ini dihuni rusa daripada spesies rusa demoransis.

Meneruskan perjalanan, kawasan tanaman rambutan, limau kasturi dan beberapa pokok yang sedang berbuah dan menunggu untuk masak.

Berada di atas bukit, Taman Arnab yang juga terletak di bawah anjung tinjau menjadi perhentian kedua yang juga cukup mengujakan.

Di sini, pengunjung boleh melihat sekitar SFV melalui anjung tinjau. Bermain dengan arnab yang comel dan jinak cukup menyeronokkan.

ANJUNG Tinjau dan Taman Arnab antara perhentian yang menarik sepanjang tram ride.
ANJUNG Tinjau dan Taman Arnab antara perhentian yang menarik sepanjang tram ride.

Dua ekor landak kecil yang turut menghuni taman arnab ini juga mencuri perhatian. Rata-rata pengunjung ingin memegangnya kerana ia tidaklah seperti landak biasa yang berduri tajam.

Di sebelah kanan Taman Arnab ini pula terletak taman permainan kanak-kanak yang memberi peluang kepada si kecil bersuka ria.

‘Tram Ride’ diteruskan menuju ke lokasi persinggahan seterusnya. Namun sebelum itu, pengunjung di bawah melalui kawasan kebun sayur yang diusahakan oleh pekebun menerusi Program Usahawan Tani.

Di sini, antara yang ditanam termasuk bendi, sawi, tembikai, tin, terung, kangkung, keledek dan madu kelulut.

Tanaman pisang yang dilalui selepas kawasan kebun sayur juga mencuri perhatian. Mana tidaknya, pisang yang ditanam di sini tersusun.

Memasuki kawasan yang sedikit berhabuk dan laluan berbatu, pengunjung akan melalui kebun madu kelulut. Di sini, terlihat kelainan rumah kelulut yang dipamerkan dan ia menarik dek berwarna-warni.

PENGUNJUNG berpeluang melihat cara mengambil madu kelulut.
PENGUNJUNG berpeluang melihat cara mengambil madu kelulut.

Sampai ke perhentian ketiga, rumah tradisional yang diperbuat daripada kayu cukup mendamaikan. Suasana yang disajikan memberikan ketenangan tersendiri.

Dikelilingi pokok jambu dan pokok kelapa pandan, duduk menyandar di beranda sambil menikmati keenakan air kelapa pandang cukup menyegarkan.

Hidangan buah belimbing, nangka madu dan jambu yang turut disediakan juga cukup mengujakan. Kenyang rasanya.

Saat berada di rumah tradisional ini, pengunjung juga akan diperlihatkan cara mengambil madu kelulut dari rumahnya dan merasai sendiri keenakannya.

Di samping menghirup udara segar, menikmati pemandangan menakjubkan sambil menikmati keenakan air kelapa pandan, pengunjung juga boleh melihat ternakan kambing di belakang rumah tradisional ini.

Meneruskan perjalanan pulang ke Pavilion tempat permulaan tram ride, melalui tasik yang menempatkan Jeti Keranji cukup mendamaikan.

 TAMAN permainan kanak-kanak turut disediakan untuk menambahkan keseronokan si kecil.
TAMAN permainan kanak-kanak turut disediakan untuk menambahkan keseronokan si kecil.

Selain memberikan suasana yang mendamaikan, tasik ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung antaranya berkayak dan memancing.

Berkunjung ke SFV ini nyata sesuatu yang cukup mengujakan.

Dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 5 petang, pengunjung dikenakan bayaran RM10 untuk dewasa dan RM8 kanak-kanak. Bagi yang ingin menikmati keenakan air kelapa pandan dan buah potong di rumah tradisional, pakej berkumpulan sebanyak RM18 untuk dewasa dan RM10 untuk pelajar sekolah ditawarkan buat buat pengunjung.

Bagaimanapun, pakej ini untuk pengunjung yang datang secara berkumpulan sekurang-kurangnya 10 orang dan tempahan lima hari bekerja.

Bagi yang ingin menikmati keenakan rasa buah-buahan yang di tanam di sini termasuk durian, mangga, nangka dan banyak lagi, kunjungan sekitar hujung November atau pertengahan Disember adalah waktu yang paling tepat.

Ini kerana banyak buah-buahan yang sedang menanti untuk masa dan dipetik. Jadi, jangan lepaskan peluang ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.pkps.gov.my/selangor-fruit-valley atau Facebook Selangor Fruit Valley.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:14 PM