STAIL ‘Parisian Chic’ yang diketengahkan Ines dan Uniqlo tampil minimalis serta selesa.
STAIL ‘Parisian Chic’ yang diketengahkan Ines dan Uniqlo tampil minimalis serta selesa.
Oleh Nor Faizah Mohamed


“Sensualiti bukannya datang dari tumit terutama jika anda tidak mampu berjalan dengannya. Ia seperti wanita cantik yang mempunyai dandanan rambut dan solekan menawan, tetapi langsung tiada senyuman. Anda sepatutnya bergaya untuk rasa lebih baik, bukannya untuk bermegah. Hanya kehidupan yang mampu mengajarnya” Ines de la Fressange.

Tidak dinafikan gaya wanita Paris dikenali dengan lagak chic, anggun dan tampil penuh yakin hinggakan padanan ringkas pun diangkat sebagai sesuatu yang moden serta sofistikated.

Ines de la Fressange, ikon fesyen dan peragawati Chanel sekitar 1980-an, dikenali antara wanita Paris yang bukanlah bersifat konvensional, tetapi masih mengekalkan gaya selesa serta mewah.

Ines sering menceritakan tabiat lucunya mengikat rambut dengan getah jenis Crunchie, namun apa yang menarik mengenai wanita berusia 58 tahun ini ialah kemampuannya tampil anggun sepanjang masa.

Kala ditanya rahsianya tampil bersahaja dengan stail chic Perancis, Ines mengatakan amalan suai padan setiap helaian dalam geroboknya yang membuatkan sesuatu gaya itu tampak menarik.

“Cukup dengan beberapa helaian utama. Padankan lama dengan baru, mewah dan murah, siang bersama malam. Ingat, pakaian cuma membantu anda kelihatan menarik dan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Kita manusia, bukan penyangkut baju,” tegasnya.

Nyata personaliti Ines itu menarik perhatian Uniqlo hingga wujud koleksi khas atas namanya. Selepas beberapa musim bersama jenama besar dari Jepun itu, Ines kini tampil dengan koleksi baru bagi musim ini.

Menyerlahkan pelbagai rekaan dimensi baru yang menarik, himpunan Ines bersama Uniqlo kali ini memberi tumpuan kepada padanan jaket bersama penggunaan material linen dan kapas lembut yang selesa digayakan sepanjang hari.

Koleksi musim dingin ini juga memberi tumpuan kepada nilai feminin dan sofistikated pada wanita moden.

Ia juga mengadun pengaruh alam semula jadi Perancis bersama gaya hidup masyarakatnya yang menjadi penyumbang idea utama dalam koleksi ini hingga terhasilnya himpunan penuh warna alam kehijauan bersama rona pastel memikat.

Ines tidak ketinggalan mengembalikan nostalgia menerusi padanan zaman 50-an dan 60-an menerusi rekaan klasik baju sejuk dengan siluet feminin.

“Koleksi kali ini pastinya mengingatkan wanita pada era 50-an apabila padanan penuh ikonik skirt pendek dan gaun ramping menjadi tumpuan.

“Jaket pula menggunakan fabrik berbulu lembut sama seperti kardigan. Pembaharuan dibuat pada rekaan apabila jaket diberi potongan lebih pendek bagi memudahkan padanan dengan helaian lain,” katanya.

Vintaj dan ringkas, namun masih moden serta segar. Sememangnya koleksi Ines bersama Uniqlo kali ini menyerlahkan daya ‘Parisian Chic’ yang minimalis juga selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:01 AM