Intan Mas Ayu Shahimi

Bergaya sedondon ibu dan anak ketika keluar bersama memang nampak manis. Tidak kira sedondon warna, corak, potongan atau pilihan busana, gaya sama serupa ini memang ada tarikan tersendiri.

Jika dulu, gaya sedondon lebih terarah kepada busana tradisi atau pakaian ditempah khas. Namun kini, jenama fesyen moden kreatif, Uniqlo sendiri tidak terkecuali menampilkan kelainan untuk memenuhi kehendak serta keinginan mereka yang mahukan gaya sedondon.

Baru-baru ini, Uniqlo sekali lagi mengumumkan kerjasama berterusannya dengan ikon fesyen Paris, Ines De La Fressange untuk membawakan koleksi musim luruh dan sejuk 2018. Menariknya, ini adalah kolaborasi Uniqlo bersama Ines untuk musim ke-10.

PILIHAN sedondon buat anak dan ibu.
PILIHAN sedondon buat anak dan ibu.

Menonjolkan bakat dan karismanya, Ines menterjemahkan kembali fesyen Montmartre, sekitar 1920-an. Jalan dan lorong berbatu di puncak kejiranan di Paris ini dulunya banyak dipengaruhi nilai sosial, seni, interaksi dan pergaulan budaya.

Lebih menarik, koleksi kali ini turut menampilkan pilihan pakaian kanak-kanak yang setiap satunya mempunyai elemen sedondon dengan orang dewasa. Malah kualiti fabrik yang dipilih untuk koleksi ini juga sepadan dengan gaya.

 INSPIRASI Montmartre 1920-an.
INSPIRASI Montmartre 1920-an.

Lihat saja bagaimana si manja tampak cukup menawan saat menyarung jaket tweed, kemeja fabrik kapas, skirt berbutang atau blaus berbintik sedondon dengan wanita di sebelahnya. Tentu sekali anda cemburu untuk memiliki koleksi serupa bukan?

Ternyata Ines bijak bermain dengan gaya dan pilihan fabrik. Rekaan dengan kain jenis tweed, melton, kasmir dan korduroi ini bukan saja tampak elegan, tetapi selesa dan menepati keperluan serta kehendak penggemar fesyen semasa.

GAYA elegan namun ringkas.
GAYA elegan namun ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 12:38 PM