Chong Wei akan berdepan Jorgensen pada pertembungan suku akhir. - Foto fail NSTP
Chong Wei akan berdepan Jorgensen pada pertembungan suku akhir. - Foto fail NSTP

Kuala Lumpur: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei melangkah ke suku akhir Terbuka China selepas menundukkan pilihan keenam Chou Tien Chen dari Taiwan di Pusat Sukan Olimpik Haixia di Fuzhou, China.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengambil masa 64 minit untuk menang 21-9, 15-21, 21-12 pada aksi pusingan kedua hari ini.

Chong Wei akan bertemu pemain nombor dua dunia, Jan O Jorgensen dari Denmark, yang telah menumpaskan pemain China, Guo Kai dengan straight set 21-19 dan 21-19 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia Chen Long dari China menewaskan pemain Taiwan, Hsu Jen Hao untuk mara ke aksi suku akhir, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada saingan suku akhir, Chen Long akan berdepan dengan pemain Denmark, Viktor Axelsen.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain utama negara, Tee Jing Yi gagal ke suku akhir selepas tewas kepada pemain pilihan utama, Saina Nehwal dari India dengan 21-10, 19-21, 21-19.

Dalam acara beregu wanita, wakil negara Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho melangkah ke saingan suku akhir selepas menewaskan beregu Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan dengan 21-18 dan 21-19.

Mereka akan menentang beregu pilihan utama dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi pada saingan suku akhir esok.

Beregu Jepun itu mengalahkan beregu Korea Selatan, Chae Yoo Jung/Kim So Yeong 14-21, 21-11, 21-5 untuk menempah slot suku akhir. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 8:22 PM