KEMALANGAN membabitkan pacuan empat roda dan lori membawa muatan batu di Limbang. FOTO Ihsan JBPM
KEMALANGAN membabitkan pacuan empat roda dan lori membawa muatan batu di Limbang. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lelaki maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa muatan batu di Kampung Bakol, Limbang, hari ini.

Mangsa, Mohamad Ardie Khan Karim, 39 dan Ngu Tiong Hieng, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.57 petang.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 16 kilometer dari balai, didapati pacuan empat roda Toyota Hilux dirempuh lori membawa muatan batu.

"Mangsa, Mohd Ardie Khan tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandunya tersepit di tempat duduk," katanya.

Menurutnya, anggota paramedik Kementerian Kesihatan mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Limbang untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:59 PM