Chong Wei perlu menang ke atas pemain Denmark, Axelsen. FOTO HM
Chong Wei perlu menang ke atas pemain Denmark, Axelsen. FOTO HM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei perlu menang ke atas pemain Denmark, Viktor Axelsen untuk menempah tiket ke separuh akhir Siri Super Dunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), esok.

Chong Wei menghidupkan kembali peluang selepas menundukkan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong dalam masa 40 minit pada perlawanan kedua Kumpulan B dengan 21-15, 22-20 di Kompleks Sukan Hamdan hari ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei kekal dengan rekod tanpa kalah bertemu Axelsen sebanyak sembilan kali sejak 2011.

Chong Wei, 34, tewas perlawanan pertama kepada Son Wan Ho dari Korea Selatan dengan 10-21, 16-21, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Pemenang pertemuan Son dan Axelsen mara ke separuh akhir. Axelsen menang aksi pertamanya menentang Angus.

Hanya dua pemain terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Chong Wei pernah menjuarai kejohanan Siri Super Dunia sebanyak empat kali pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Dalam pada itu, beregu lelaki pilihan kedua kejohanan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong layak ke separuh akhir selepas berhempas pulas hampir sejam untuk mengalahkan gandingan Li Junhui-Liu Yuchen dari China, 18-21, 21-19, 21-19.

V Shem-Wee Kiong mendapat kemenangan percuma pada perlawanan pertama Kumpulan B apabila beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen menarik diri daripada kejohanan itu.

Cabaran beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei berakhir selepas tewas 19-21, 17-21 dalam perlawanan kedua mereka menentang Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Mereka tewas dalam aksi pertama di tangan beregu Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:16 PM