CHONG Wei berdepan Shi Yuqi di suku akhir Terbuka Jepun.
CHONG Wei berdepan Shi Yuqi di suku akhir Terbuka Jepun.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah memenangi pusingan kedua Terbuka Jepun apabila mengalahkan pemain muda China, Qiao Bin semalam.

Pilihan utama kejohanan itu mencatat kemenangan straight set, 21-8, 21-16 untuk menempah slot ke suku akhir dan bertemu seorang lagi pemain Tembok Besar, Shi Yuqi hari ini.

Sebelum itu, Shi Yuqi mencatat kemenangan mengejut apabila menumpaskan Ng Ka Long dari Hong Kong 10-21, 21-12, 21-15.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, Chong Wei bermain dengan sempurna dan semua perancangan ditetapkan menjadi walaupun hanya berdepan pemain kurang pengalaman.

“Kepantasan, serangan, pertahanan dan kawalan gelanggang semuanya sempurna. Secara keseluruhan perlawanan hari ini (semalam) berlangsung dengan baik sekali buat Chong Wei,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, hari ini Chong Wei akan berdepan seorang lagi pemain muda China dan seperti biasa pemain nombor satu dunia itu tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tumpas kepada pasangan China, Huang Kaixiang-Wang Yilyu 21-23, 12-21.

Bagaimanapun, beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei beraksi cemerlang apabila mengalahkan wakil tuan rumah, Miki Kashihara-Miyuki Kato 19-21, 21-16, 21-17 dan hari ini bakal berdepan pilihan kedua kejohanan dari Denmark, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl.

Turut mara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mengalahkan Jacco Arends-Selena Piel dari Belanda, 21-13, 21-19 dan hari ini mereka akan menentang Kim Gi Jung-Shin Seung Chan (Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 11:05 AM