GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Rahmat Khairulrijal


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen Johor Bahru, kelmarin memerintahkan sebuah syarikat penyelenggara jalan membayar ganti rugi RM721,000 kepada seorang lelaki yang cedera selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, tiga tahun lalu.

Mangsa yang berusia 49 tahun itu dianugerahkan RM721,000 untuk ganti rugi dan kecederaan yang dialami selepas motosikalnya merempuh jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai, tiga tahun lalu.

Hakim, Sazlina Safie, membuat keputusan itu selepas mendapati Razali @ Mohd Leey Subeh, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.

Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai pada kira-kira jam 10 malam, apabila terlanggar jalan berlubang di permukaan jalan berkenaan mengakibatkan plaintif terjatuh dan cedera.

Beliau memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat kejadian itu.

Pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri), manakala defendan pertama gagal membawa mana-mana pihak ketiga ke dalam tuntutan mahkamah berkenaan.

Sazlina dalam keputusannya, berkata syarikat terbabit juga gagal memfailkan sebarang hujah bertulis atau lisan walaupun beberapa kali penangguhan.

Beliau berkata, plaintif berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kemalangan ini.

"Mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Feb 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi.

"Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

"Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam," katanya dalam alasan penghakiman yang disiarkan di laman web kehakiman semalam .

Beliau berkata, syarikat itu berhujah bahawa lubang itu bukan tanggungjawab mereka kerana ia milik syarikat utiliti dan sepatutnya diselenggara subkontraktor atau pihak lain.

"Di sebalik dakwaan itu, syarikat gagal memulakan sebarang prosiding pihak ketiga terhadap mana-mana kontraktor atau pihak yang berkaitan dalam saman ini.

"Mahkamah juga mendapati adalah munasabah mangsa gagal menyedari jalan berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan pada waktu kejadian," katanya.

Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

"Walaupun kes ini merujuk kepada kerajaan dan GPA, ia adalah prinsip asas yang mesti diterapkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan jalan yang disediakan selamat untuk pengguna.

"Oleh itu, Mahkamah menganugerahkan plaintif RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am," katanya.

Susulam keputusan itu, syarikat penyelenggaraan itu akan memfailkan rayuan penghakiman berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:48 PM